'Jangan jadikan laut tong sampah' - MB Terengganu tegur kaki candat

LocalEnvironment
9 Apr 2026 • 2:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar tular menerusi laman sosial aktivis alam sekitar, Geng Plastik Ija (GPI) menunjukkan sampah sarap dibuang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pencandat sotong.

​KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata ketika menyertai aktiviti mencandat sotong.

​Teguran terbuka itu disuarakan beliau menerusi hantaran di laman sosial rasminya pada Khamis

​Menurut Ahmad Samsuri, pantai di Terengganu merupakan anugerah yang bukan sahaja indah dipandang, malah menjadi sumber rezeki buat penduduk setempat serta lokasi tumpuan untuk beriadah.

​"Pantai ini memang anugerah yang sangat indah. Bukan saja cantik dipandang, tapi juga sumber rezeki dan tempat kita lepaskan penat. Tapi semua itu takkan kekal kalau kita sendiri tak jaga," katanya.

​Beliau turut menekankan bahawa status Terengganu sebagai negeri paling bahagia di Malaysia seharusnya selari dengan sikap rakyatnya yang prihatin terhadap kebersihan.

​"Rugi kalau kita rosakkan suasana (bahagia) itu dengan sikap tidak ambil peduli soal kebersihan," jelas beliau lagi.

​Mengulas mengenai kemeriahan musim mencandat sotong ketika ini, Ahmad Samsuri mengakui aktiviti tersebut merupakan platform yang baik untuk merapatkan ukhuwah sambil mencari rezeki.

​Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar keseronokan tersebut tidak disertakan dengan pengabaian tanggungjawab terhadap alam sekitar.

"Keindahan ini hanya dapat dinikmati secara berterusan jika semua pihak memainkan peranan," ujarnya.

​Dalam pada itu, ​Ahmad Samsuri menyeru agar orang ramai memulakan langkah mudah dengan membawa balik sampah masing-masing demi mengelakkan kerosakan jangka panjang terhadap ekosistem marin negeri itu.

"Mudah saja, sampah jangan tinggal. Laut bukan tong sampah, pantai pun bukan tempat buang sisa. Kalau kita jaga, semua orang boleh terus nikmati keindahan ini.

"Jadi sama-sama kita jaga. Benda kecil, tapi besar maknanya. Terima kasih buat yang sentiasa prihatin dan sayangkan negeri kita," ujarnya.

Sebelum ini, tular di laman sosial perkongsian menunjukkan gambar sampah sarap dipercayai ditinggalkan oleh kumpulan pencandat sotong di sebuah kawasan mencandat di Kijal, Kemaman.