Jangan jadikan REE di Terengganu sama seperti petroleum - Ahli Parlimen Kuala Nerus

19/08/2025 - 10:35
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 19 Ogos – Kerajaan digesa agar menguruskan sektor perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (REE) di Terengganu secara berhemah supaya manfaatnya benar-benar dinikmati rakyat di negeri itu.
Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak (PN) yang mendakwa industri petroleum di Terengganu tidak memberi pulangan sewajarnya kepada penduduk tempatan kerana hasilnya lebih banyak diagih untuk kepentingan nasional.
Beliau berkata, Terengganu dikurniakan simpanan REE antara yang tertinggi di negara ini, namun sebahagian besar berada di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang menimbulkan cabaran untuk diterokai.
“Kerajaan negeri telah merancang untuk menggantikan kawasan berkenaan dengan dengan hutan lain yang tiada REE.
“Persoalannya, apakah bentuk kerjasama kementerian untuk membantu usaha ini agar REE menjadi sumber hasil baharu untuk Terengganu bangkit maju seperti negeri-negeri di Pantai Barat?.
“Kita tidak mahu sumber ini kelak menerima nasib yang sama seperti petroleum, seperti kata pepatah ‘menang sorak kampung tergadai’. Hasilnya dari bumi Terengganu tetapi manfaatnya tidak dirasai oleh rakyat negeri,” katanya dalam soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Alias meminta penjelasan mengenai status kajian membenarkan perlombongan REE di kawasan Hutan Simpan Kekal serta garis masa kajian tersebut dimuktamadkan.
Menjawab persoalan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perlombongan REE memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan negeri dan Persekutuan kerana ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan.
Katanya, kerajaan negeri bertanggungjawab mengeluarkan lesen penerokaan dan pajakan perlombongan, manakala kerajaan Persekutuan pula terlibat dalam kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), skim pengendalian perlombongan serta permit eksport.
“Setakat ini, negara masih belum memiliki teknologi pemprosesan REE dan aktiviti perlombongan hanya di peringkat percubaan. Oleh itu, kajian terperinci perlu dimuktamadkan terlebih dahulu sebelum operasi berskala besar dapat dilaksanakan,” katanya. - DagangNews.com
standard


