Jangan jadikan royalti minyak modal politik, mekanisme bayaran sama sejak dahulu - Kamil Munim

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 7:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan jadikan royalti minyak modal politik, mekanisme bayaran sama sejak dahulu - Kamil Munim
Muhammad Kamil bercakap kepada pemberita selepas mengadakan sesi perbincangan bersama petani berhubung isu status tanah di Kanthan, Chemor, Ipoh pada Jumaat.

IPOH - Mekanisme pengurusan bayaran royalti petroleum yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri tidak seharusnya dijadikan modal politik, kata Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau berkata, kaedah pengurusan dan pembayaran royalti yang dilaksanakan ketika ini sebenarnya merupakan pendekatan sama yang telah lama dipraktikkan, termasuk ketika pentadbiran terdahulu.

Menurutnya, mekanisme itu bukan sekadar menyalurkan dana kepada kerajaan negeri, sebaliknya melibatkan penyelarasan bagi pelaksanaan projek rakyat.

“Semangatnya ialah kita mahu dana ini tidak hanya digunakan untuk membiayai gaji dan emolumen semata-mata, tetapi dalam masa sama diselaraskan supaya projek-projek untuk rakyat dipantau dan dapat dilaksanakan dengan baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi perbincangan bersama petani berhubung isu status tanah di Kanthan, Chemor di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang mendakwa mekanisme sedia ada kurang efisien kerana tidak semua bayaran disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri.

Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, hanya sekitar 48 peratus bayaran royalti petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri, manakala baki selebihnya diuruskan oleh Kementerian Kewangan untuk pelaksanaan projek.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menegaskan, pendekatan tersebut penting bagi memastikan tidak berlaku ketirisan atau kebocoran dalam pengurusan dana awam selain menjamin setiap peruntukan digunakan secara berkesan.

"Apa yang kita buat hari ini ialah mencerminkan semangat federalisme dan yang paling penting, manfaat terbesar daripada peruntukan dana khas dapat dipulangkan semula kepada rakyat.

"Jadi pihak-pihak yang tak ada modal politik ini, hentikan bermain menyerang kerajaan dengan politik murah sebegini," katanya.

View Original Article