'Jangan kata orang bebal, itu bahasa tidak elok' - Muhyiddin

LocalPolitics
5 Apr 2026 • 3:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhyiddin (tengah) bergambar dengan pelajar cemerlang SPM Parlimen Pagoh.

MUAR - "Tidak perlu guna bahasa tidak elok kerana kritikan itu adalah suara yang mahukan penyelesaian masalah."

Demikian teguran dibuat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dilihat melabelkan semua parti politik termasuk kerajaan sebagai “bebel” berikutan kritikan terhadap usaha kerajaan menangani kenaikan harga minyak susulan krisis tenaga di Asia Barat.

Sebaliknya, Muhyiddin menekankan pandangan yang dilontar oleh pembangkang mahupun penyokong kerajaan adalah bertujuan menyuarakan isu sebenar yang dihadapi rakyat.

"Bukan dia (Perdana Menteri) menempelak balik dengan kata-kata sebegitu. Beliau sepatutnya menerima kerana yang mengkritik bukan sahaja pembangkang tapi penyokong kerajaan pun sama...mereka pun marah.

"Kita tidak sepatutnya mengatakan orang bebal ke atau apa-apa sekalipun. Itu bahasa tidak elok. Jadi, dalam keadaan krisis, apa saja pandangan setiap pihak, itu bermakna pihak berkenaan lebih tahu daripada mereka.

"Mereka menyuarakan pandangan tertentu dan kerajaan harus prihatin. Jadi kita kena sikap terbuka dan apa yang disuarakan itu adalah ikhlas dalam membantu menyelesaikan masalah," katanya.

Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh pada Ahad.

Muhyiddin menegaskan sebagai Perdana Menteri, sikap terbuka dalam menerima kritikan perlu dijadikan cabaran, bukannya menempelak dengan kata-kata kurang elok.

"Setiap pihak yang menyuarakan pandangan memiliki pengalaman dan maklumat tertentu, yang seharusnya dijadikan rujukan kerajaan dalam menyelesaikan masalah.

"Dalam keadaan krisis sekarang, sektor pengangkutan, pertanian dan perindustrian terkesan. Justeru pengurusan cekap dan bijaksana amat diperlukan," katanya.

Pada Sabtu, Anwar dilaporkan menegur pemimpin semua parti politik yang dilihat seakan-akan menafikan usaha keras kerajaan dalam mengatasi kesan langsung ekonomi berhubung peningkatan harga minyak yang dialami negara susulan krisis tenaga akibat konflik Asia Barat.

Menteri Kewangan itu menegaskan, kerajaan sedang berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter serta menanggung subsidi diesel bernilai RM6 bilion sebulan bagi sektor tertentu.

Had subsidi RON95 juga telah diturunkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan sebagai langkah penyesuaian terhadap kegawatan ekonomi.