Saya teringat tentang kisah saya dengan seorang sahabat, bernama Huda di zaman pengajian universiti dahulu. Ketika itu bulan Ramadan dan kami berhajat untuk berbuka puasa dan menunaikan solat terawikh di sebuah masjid yang terkenal di ibu kota. Ketika hampir waktu iftar kami memasuki ruang untuk menjamah hidangan berbuka puasa. Ketika itu, cuping telinga saya menangkap suara wanita sedang berleter panjang. Saya tercari-cari punca suara. Kelihatan seorang nenek sekitar 70-an sedang mengeledah sebuah beg, seperti mencari-cari sesuatu. Kadangkala nada suaranya tinggi, kadangkala rendah. Seketika dia diam dan tajam memerhati sekeliling. Orang-orang sekeliling pula mencuri-curi pandang gelagatnya. Yang mencuri-curi pandang itulah ditempiknya. Uihhh.. gerun melihat tindak balas nenek tua yang cukup bertenaga itu. Namun terdapat juga seorang, dua mak cik cuba merapati dan menenangkannya, gayanya seperti jawatankuasa masjid. Sudahnya, makcik-makcik itu pula yang dipetirkannya. Namun mereka hanya mengulumkan senyuman sambil berkata perlahan, “Jangan dikacau barang dia, dia tak suka.” Pada firasat saya, nenek ini telah dikenali dalam kalangan kariah masjid. Tidak peliklah ada yang langsung tak endah dengan ‘amukan’nya itu.
----
Selesai sahaja menunaikan solat terawikh, kami bersama jemaah yang lain mula beransur-ansur bergerak menuju ke pintu keluar. Tidak semena-mena kaki saya terlanggar sesuatu. Aghh! Jelas satu gelas sudah terbaring dan airnya tumpah di lantai. Siapa yang berada di sebelah gelas. Itulah tuannya! Saat mata saya menangkap siapa pemiliknya. Saat itu terasa jantung saya gugur. Nenek tadi! Aduuhhhh! “Macammna ni?” Saya memandang Huda. Seram sejuk dibuatnya. Tak dapat nak dibayangkan ‘flying kick’ yang bakal saya terima. Bagi mengelakkan perkara buruk berlaku, saya terus menarik tangan Huda untuk meninggalkan nenek sahaja tersebut yang sedang sibuk menggulung telekungnya. Dalam keadaan jemaah terpusu-pusu keluar, tangan Huda terlepas. Saya terus ke muka pintu dan berniat menunggunya di sana. Huda tidak muncul-muncul. Tiba-tiba saya terdengar suara nenek yang amat saya takuti itu menggetar gegendang telinga. Terasa bahang kemarahannya. Saya jangkakan, dia sudah sedar yang airnya sudah ditumpahkan orang. Dalam masa yang sama saya masih mencari kelibat Huda, masih tidak kelihatan. Saya masuk kembali ke ruang solat. Dan.. saya terlihat Huda sedang tunduk mengelap air yang saya tumpahkan tadi, manakala nenek itu berdiri sambil bercekak pinggang memarahinya. Jemaah yang masih ada di ruang solat hanya memerhatikan sahaja sambil mengeleng kepala. Saya? Kaki saya bagai dipaku. Hanya tegak berdiri. Memerhati dalam rasa yang tidak menentu. Sangat malu kerana Huda lebih berani berhadapan dengan nenek tersebut. Malu kerana Huda sanggup bertanggungjawab atas kesalahan yang saya lakukan dan rela dihukum. Lebih parah lagi, hukuman dijalankan di khalayak ramai! Aduhh! Tidak berhenti saya menyumpah diri sendiri. Kau memang tak guna! Kau memang pentingkan diri sendiri! Kau tak jujur! Kau pengecut! Kau menyusahkan orang! Kau lari dari masalah! Terasa sangat berdosa melihat Huda menangung kesan buruk yang tidak patut ditanggungnya.
------
Setelah keluar dari masjid, Huda mencadangkan agar kami moreh di kedai makan berhampiran terlebih dahulu sebelum pulang ke hostel. Saya masih mendiamkan diri. Hanya menurut. Memandang wajah Huda pun saya tidak sanggup, apatah lagi memulakan perbualan seperti biasa. Tiba-tiba Huda berkata, “Pernah tak dengar cerita seekor beruang dengan dua orang pemburu?”. Saya mengeleng kepala. “Ada dua orang sahabat ni, masuk ke hutan untuk berburu. Tiba-tiba mereka terserempak dengan seekor beruang. Mereka kaget dan terus berlari sekuat hati menyelamatkan diri. Beruang terus mengejar mereka. Tiba-tiba seorang dari mereka tersadung akar dan terjatuh. Seorang lagi hanya mampu menoleh dan terus berlari, kemudian terus memanjat pokok yang berhampiran. Jantungnya berdegup kencang melihat sahabatnya yang terjatuh tadi telah terbaring. Beruang pula telah berada di sebelah sahabatnya itu. Tiba-tiba beruang menundukkan kepala seperti mahu membaham kepala sahabatnya. Dia menutup matanya kejap-kejap. Tak sanggup melihatnya. Lama kemudian, perlahan-lahan dia membuka matanya. Eh! Sahabatnya kekal di situ. Malah sudah berdiri. Ke mana beruang tadi?? Matanya liar, berbalam-balam kelihatan beruang tersebut semakin menjauh memasuki hutan yang semakin tebal. Apabila keadaan dikira selamat. Dia menuruni pokok dan berlari mendapatkan sahabatnya. “Eh! Kau ok tak? Aku takut betul masa beruang tu tunduk kat engkau tadi..”. Sahabatnya tersenyum, “Dia tunduk tu.. sebab dia nak bisik pada aku.” “Oh? Dia bisik apa?”. Sahabatnya memandang tepat kepadanya, “Dia cakap – kawan kau yang atas pokok tu memang tak guna. Elok kau jangan kawan lagi dengan dia.” Senyap seketika dan Huda ketawa. Saya? saya hanya mampu tersenyum sumbing dengan sindiran pedasnya.
…………………….
Kisah ini sudah 28 tahun usianya. Ia masih segar. Masih tertanam dalam fikiran. Masih hidup dalam perasan. Ia benar-benar mengajar diri saya untuk sentiasa jujur dalam tindakan. Belajar menelan kebenaran meskipun pahit. Belajar mengakui kesalahan meskipun sakit.
(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com
Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.
Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.


