Jangan Keliru, Siksa Kubur Dan Siksa Neraka Adalah 2 Filem Berbeza

Movie
14 May 2024 • 7:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Siksa Kubur turut menampilkan aktor Reza Rahadian

Pabila sutradara filem, Joko Anwar berkongsi bahawa filem arahannya, Siksa Kubur akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia, ramai yang terkeliru dengan menyangka ia adalah filem sama yang diharamkan pada Januari lalu, iaitu Siksa Neraka.

Kekeliruan ini berlaku mungkin juga kerana poster filem yang seakan-akan sama kerana menggunakan tona yang hampir serupa.  Namun, sebaik sahaja anda terlihat nama Joko Anwar pada poster itu, anda harusnya sedar ia bukanlah buah tangan yang sama. 

image is not available
Poster Siksa Neraka

Siksa Kubur adalah sebuah filem terbitan produksi Indonesia iaitu Rapi Films dan Come and See Pictures. 

Mula ditayangkan di pawagam Indonesia pada 11 April 2024, ia diinspirasikan daripada filem pendek judul yang sama, juga diarahkan oleh Joko Anwar. 

Dikategorikan sebagai filem seram psikologi, Siksa Kubur menampilkan bintang-bintang ‘A list’ Indonesia seperti Faradina Mufti, Reza Rahadian, Christine Hakim, Slamet Raharjdo dan Fachri Albar.  

Biarpun filem ini pada mulanya diharamkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sama seperti Siksa Neraka, namun ia akhirnya berjaya mendapat pelepasan selepas beberapa suntingan dilakukan untuk tontonan rakyat Malaysia.

Siksa Kubur mengisahkan tentang seksaan yang maha dahsyat di alam kubur atas perbuatan seseorang semasa hidup di dunia. Ia adalah tentang kehidupan Sita dan kedua orang tuanya. 

Setelah kedua orang tuanya menjadi mangsa bom bunuh diri, Sita jadi tidak percaya agama. Sejak saat itu, tujuan hidup Sita hanya satu, dia ingin mencari orang yang paling berdosa.

image is not available
Poster Siksa Kubur yang seakan sama dengan Siksa Neraka kerana tona warna hampir serupa

Ketaksubannya telah membuat Sita nekad untuk ikut masuk ke dalam kubur mereka yang berdosa untuk membuktikan bahawa siksa kubur tidak ada dan agama itu tidak nyata. Namun, ada akibat yang mengerikan bagi mereka yang tak percaya.

Satu fakta menarik yang anda perlu tahu ialah Siksa Kubur merupakan filem seram kemunculan semula Reza Rahadian selepas bertahun-tahun lamanya. 

Dalam filem ini dia melakonkan watak bernama Adil yang mempunyai personaliti introvert akibat sering dibuli dan membesar sebagai seorang yang kurang keyakinan diri. - Getaran, 14 Mei 2024

Foto : Aplikasi X