
“SUNGGUHPUN perundingan mengambil masa yang lama, Malaysia adalah komited untuk menyelesaikan isu pembatasan sempadan secara perundingan atau perbincangan dua hala berlandaskan undang-undang antarabangsa.
Khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS)1982. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, UNCLOS 1982 merupakan dokumen komprehensif yang menyentuh segenap dimensi hal ehwal kelautan dan maritim. Ini termasuklah penentuan garis pangkal maritim, pembatasan sempadan maritim, atau dengan izin, perlindungan alam sekitar marin, navigasi kajian saintifik dan sebagainya.
“Inilah sebabnya UNCLOS 1982 juga dikenali sebagai Perlembagaan Laut.” Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Timbalan Menteri Luar Negeri dalam perbahasan di Parlimen pada 10 Julai 2013.
Meskipun isu kedaulatan wilayah dan sempadan perairan negara sentiasa menjadi agenda mustahak dalam dasar pertahanan negara, namun prinsip yang dipegang Malaysia dalam memelihara diplomasi antarabangsa adalah jelas dan malar sejak dulu lagi.
Pengurusan sempadan laut bukan sekadar garisan di atas peta bagi Malaysia, sebuah negara maritim yang dikelilingi laluan strategik seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan. Sebaliknya, isu ini melibatkan hak ekonomi, keselamatan warga negara dan integriti wilayah.
Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada prinsip undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS 1982. Hal ini ditekankan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat pada 14 Julai lalu.
Jelas beliau, melalui kerangka ini, Malaysia menguruskan sebarang pertindihan tuntutan maritim melalui saluran rundingan dan diplomasi berbanding konfrontasi bersenjata.
Inilah pendekatan berterusan yang digunakan bagi menyelesaikan pertindihan sempadan dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina.
Prinsip ini membolehkan sebarang tuntutan wilayah diperhalusi dalam pada pembangunan maritim tidak dihentikan. Sebagai contoh, pengalaman Malaysia ketika pembentukan Kawasan Pembangunan Bersama antara Malaysia, Thailand dan Vietnam membuktikan manfaat ekonomi boleh dikongsi tanpa membelakangkan tuntutan kedaulatan wilayah masing-masing.
Malah, berlandaskan kerjasama erat dalam ASEAN, Malaysia turut aktif menyokong penyelesaian Kod Etika bagi mengurangkan ketegangan dan mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini di perairan yang dipertikaikan dengan negara China khususnya bagi wilayah perairan di Laut China Selatan.
Bahkan sebagai ahli ASEAN, isu ini dilihat sebagai isu tekal yang turut dialami negara ahli lain.
Sebagai contoh insiden yang berlaku ketika Dialog Pertahanan Seoul yang berlangsung di Korea Selatan pada 8 September, lalu menyaksikan bagaimana Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro Jr. bertindak membaca sekeping nota yang dihantar delegasi China secara terbuka ketika sesi dialog sedang berjalan.
Ramai yang menempelak tindakan delegasi China menghantar nota berkenaan sebagai taktik intimidasi dan memuji tindakan Teodoro yang enggan tunduk kepada tekanan luar. Jika diamati, tindakannya membuktikan sebarang dasar yang diambil bagi mempertahankan perairan negara menuntut daya tahan yang tinggi di tengah-tengah persaingan kuasa besar geopolitik.
Sebagai kuasa politik global, China sering bermain api di perairan antarabangsa. Misalnya, konflik maritim antara Filipina dan China semakin meruncing dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menyaksikan Manila menuduh Beijing melakukan tindakan berbahaya di dalam zon ekonomi eksklusifnya, termasuk penggunaan meriam air terhadap misi penghantaran bekalan.
Bahkan keengganan China memperakui keputusan tribunal antarabangsa yang memihak kepada Filipina dalam kes rujukan tuntutan kedaulatan Laut China Selatan mengundang kebimbangan negara-negara Asia Tenggara.
Dalam konteks ini, penganjuran Forum Xiangshan Beijing pada September baru-baru ini juga wajar diperhatikan kerana berlangsung ketika ketegangan serantau berkaitan Taiwan dan Laut China Selatan terus menjadi perhatian. Adakah forum ini akan mengetengahkan isu mengenai kebarangkalian berlaku gangguan perdagangan atau laluan perkapalan di Laut China Selatan dan Selat Taiwan akibat permainan geopolitik China?
Negara itu tidak boleh berterusan menganggap bara api yang mereka semai akan hanya membakar pihak lawan tanpa turut sama membinasakan pegangan ekonomi China di rantau ini.
DIPLOMASI MENJADI BENTENG PERTAMA
Apa yang jelas, isu seperti pencerobohan kapal asing ke dalam wilayah perairan negara-negara Asia Tenggara, isu pencerobohan nelayan luar serta tuntutan kewilayahan yang rumit memerlukan gabungan diplomasi yang cekal dan kesiapsiagaan aset pertahanan maritim.
Di sinilah agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu diperkasakan dan diberikan penghormatan setimpal selaku pembela kedaulatan negara.
Mempertahankan kedaulatan perairan bukanlah isu antara memilih diplomasi atau menegaskan kemampuan ketenteraan negara. Kedua-duanya perlu bergerak seiring.
Diplomasi memberikan ruang untuk menyelesaikan pertikaian tanpa konflik, manakala keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan memastikan pendirian negara mempunyai kredibiliti.
Dalam menghadapi persaingan kuasa besar dan pertindihan tuntutan di Laut China Selatan, Malaysia perlu terus berpegang pada undang-undang antarabangsa, memperkukuh kerjasama ASEAN serta meningkatkan keupayaan mempertahankan perairan dengan lebih utuh.
Ini kerana kedaulatan Malaysia hanya akan kekal kukuh apabila negara ini berkemampuan mempertahankan sempadan dan juga mempunyai kebijaksanaan mengurus pertikaian dengan cara halus supaya keamanan, kemakmuran dan kepentingan generasi akan datang terus terpelihara. –UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.
The post Jangan kompromi kedaulatan perairan appeared first on Utusan Malaysia.
