Jangan Lempar Tohmahan Tidak Berasas Tanpa Ketahui Fakta, Alasan Penghakiman

LocalPolitics
12 Sep 2022 • 4:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sultan Sharafuddin Idris Shah - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman yang menjadi teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi di negara ini.

Baginda bertitah, martabat badan kehakiman sebagai pentadbiran keadilan yang bebas serta berwibawa termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan disokong oleh proses pemilihan hakim secara teliti.

“Rakyat perlu mengambil maklum bahawa hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.

Titah baginda, Perdana Menteri sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan lantikan seseorang hakim hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara dan perlu mendapat pengesyoran dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

“Proses teliti dalam lantikan seseorang hakim menunjukkan badan kehakiman berbeza dengan institusi kerajaan yang lain dan menggambarkan betapa pentingnya peranan badan tersebut di dalam sistem pemerintahan negara,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas dari sebarang pengaruh tidak diingini.

Titah baginda, seorang hakim telah mengangkat sumpah untuk mengamalkan kesamarataan, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan serta bebas dari segala bentuk tekanan dalaman dan luaran.

“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang. Ini bermakna bahawa rakyat, tidak mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang sama.

“Setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada Badan Kehakiman atas sesuatu kes yang diadili. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik badan kehakiman agar ia tidak tercemar dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan pihak Eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan badan kehakiman.

Titah baginda, kebebasan badan kehakiman memerlukan sokongan, dokongan, kefahaman dan iltizam dari semua pihak terutama dari pihak Eksekutif.

“Sehubungan dengan itu, beta menyeru semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan badan kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan penghakiman terhadap sesuatu kes,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, sebarang tohmahan tidak berasas akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.

“Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Kelmarin, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengingatkan ahli politik supaya membaca serta memahami alasan penghakiman sesuatu kes mahkamah dan bukannya membuat kesimpulan sendiri mengenai keputusan hakim.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai serangan terhadap badan kehakiman selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu memerintahkan Datuk Seri Najib Razak memulakan hukuman penjara 12 dikenakan ke atasnya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan sokongan terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

Titah baginda, rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya. - Getaran, 12 September 2022