Jangan Lihat Perbezaan Pendapat Dari Lensa Permusuhan - PM

LocalPolitics
26 Jul 2025 • 8:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Antara anggota polis yang bertugas mengawal keadaan di Dataran Merdeka hari ini

KIALA LUMPUR - Kritikan dan perbedaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua perbezaan tersebut harus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.

image is not available

Menurut beliau, apa yang penting ialah tindakan yang diambil bertitik-tolak daripada perbezaan itu berjalan dengan tertib, aman dan dalam semangat cintakan tanah air. 

“Justeru, sebagai Perdana Menteri, saya kekal dan konsisten berpegang pada prinsip yang demokratik yakni kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan.

“Prinsip yang sama telah kami semangati melalui Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (Prime Minister’s Question Time, PMQT) di Parlimen di mana Ahli-ahli Parlimen bebas bertanyakan terus apa sahaja soalan, mengangkat bangkangan kepada saya selaku Perdana Menteri secara terus,” katanya. 

Perdana Menteri menyatakan demikian sebagai mengulas perhimpunan ‘Turun Anwar’ anjuran pembangkang yang berlangsubg di ibu negara hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar turut meminta kerjasama orang ramai mendesak semua Ahli Parlimen agar terus menghadiri dan aktif mengambil bahagian dalam semua sesi di Dewan Rakyat, terutamanya sesi PMQT. 

“Lantas, saya undang semua untuk terus berdialog dan berwacana, mencari titik temu, melakar s serta membina negara ini bersama, tidak sekadar di jalanan, tetapi bangkit telaah, menggapai dan menguasai lapangan-lapangan baharu agar negara ini dilonjak ke depan secara mantap dan bertenaga,” katanya. 

image is not available

Pada hantaran tersebut, beliau turut merakam ucapan penghargaan kepada semua petugas pasukan keselamatan termasuk polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan.

“Saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah bertugas dengan ketangkasan, disiplin dan dedikasi yang tinggi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan kelancaran acara himpunan yang berlangsung hari ini,” katanya. 

Jelas tidak terkesan dengan perhimpunan berkenaan, Perdana Menteri turut mendoakan peserta yang datang dari jauh selamat pulang ke destinasi masing-masing.

“Kepada saudara saudari yang hadir—sama ada yang menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti, mahupun yang datang dari jauh—saya ucapkan selamat berpulang ke destinasi masing-masing. 

“Semoga perjalanan kalian dipermudah dan dilindungi,” katanya.

Beliau turut mempelawa semua peserta kembali ke ibu negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. 

“Dan andai kalian berkesempatan lagi di masa hadapan, jangan lupa untuk kembali ke Kuala Lumpur. 

“Mercu-mercu tanda bersejarah di sekitar ibu kota, termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, kini sedang dalam rencana pemuliharaan secara besar-besaran agar kita dapat tingkatkan pelancongan dan mendukung ekonomi di sekitar ibu kota yang sarat nilai sejarah, harapan dan semangat nasional, terutamanya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 kelak dan pelbagai aktiviti menarik menanti, Insya Allah,” katanya. - Getaran, 26 Julai 2025

View Original Article