Jangan luluskan RUU jika kebebasan tidak terjamin - Pakar

LocalPolitics
21 Apr 2026 • 3:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan luluskan RUU jika kebebasan tidak terjamin - Pakar
Maha Balakrishnan

SHAH ALAM - Kerajaan tidak seharusnya memaksa kelulusan rang undang-undang (RUU) untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tanpa memastikan kebebasan yang sewajarnya bagi kedua-dua fungsi tersebut.

Pakar Demokrasi Berperlembagaan, Maha Balakrishnan berkata, draf semasa RUU itu tidak menyatakan kepada siapa Pendakwa Raya baharu akan bertanggungjawab.

“Pendakwa Raya baharu tidak boleh dipaksa untuk bertanggungjawab kepada sesiapa. Kita tidak boleh menerima sesuatu perundangan hanya kerana kita dibayangi ketakutan terhadap keadaan sedia ada.

“Ya, situasi sekarang tidak dapat dipertahankan, tetapi sekurang-kurangnya Perdana Menteri boleh dipanggil ke Parlimen untuk menjawab soalan.

“Menteri Undang-Undang juga boleh dipanggil untuk menjawab persoalan mengenai cadangan kerajaan,” katanya berucap pada forum mengenai pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Wisma Majlis Peguam Malaysia, Kuala Lumpur pada Isnin.

Tambah Maha, kegagalan melibatkan Parlimen dalam proses pemilihan dan pelantikan Pendakwa Raya berpotensi menjejaskan tahap ketelusan dalam sistem perundangan negara.

Menurutnya, penglibatan Parlimen amat penting bagi memastikan keseluruhan proses termasuk pencalonan dan pelantikan, dilaksanakan secara terbuka serta dapat dipertanggungjawabkan kepada umum.

Ujar beliau, antara elemen utama yang perlu didedahkan ialah kriteria pemilihan, senarai calon yang dipertimbangkan serta justifikasi di sebalik setiap keputusan yang dibuat.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah ketelusan bukan sahaja dari segi calon yang dicadangkan, tetapi juga proses pelantikan itu sendiri. Semua fakta ini perlu dikemukakan secara jelas dan terbuka kepada umum,” katanya.

Beliau menegaskan, tanpa penglibatan Parlimen, usaha untuk mencapai ketelusan dalam proses tersebut akan menjadi sukar, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap integriti sistem pelantikan.

“Jika Parlimen tidak dimasukkan dalam proses ini, kemungkinan besar kita tidak akan memperoleh ketelusan yang diperlukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Maha berpandangan semua pihak berkepentingan mempunyai pendirian yang hampir sama iaitu rang undang-undang berkaitan perlu diperbaiki bagi memastikan sistem yang lebih telus dan adil.

Walaupun mungkin terdapat perbezaan pandangan dari segi perincian dan pelaksanaan, beliau percaya kesepakatan masih boleh dicapai melalui rundingan berterusan.

“Saya berharap pihak Parlimen, ahli Parlimen dan semua pemegang taruh akan meneruskan proses rundingan bagi mencapai persetujuan bersama,” katanya.