Jangan main sapu je habuk stor lama, takut terkena hantavirus yang boleh ragut nyawa. Ketahui bezanya dengan kencing tikus

Health & Fitness
18 May 2026 • 12:49 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Jangan main sapu je habuk stor lama, takut terkena hantavirus yang boleh ragut nyawa. Ketahui bezanya dengan kencing tikus

ISU kebersihan persekitaran sering kali menjadi topik hangat, namun sejauh mana kita benar-benar cakna tentang ancaman yang bersembunyi di sebalik debu dan kotoran?

Baru-baru ini, tular mengenai kebimbangan terhadap jangkitan tikus, namun ramai yang masih keliru antara kencing tikus atau leptospirosis dengan ancaman lain yang perlu diberi perhatian iaitu hantavirus.

Nama hantavirus diambil sempena Sungai Hantan di Korea Selatan, tempat virus itu mula dikenal pasti ketika Perang Korea pada awal 1950-an apabila ramai tentera mengalami penyakit misteri melibatkan demam dan kegagalan buah pinggang.

Virus itu kemudian dikenal pasti oleh saintis Korea Selatan, Ho-Wang Lee, pada tahun 1970-an selepas beliau berjaya mengasingkan virus daripada tikus lapangan.

Kemunculan semula hantavirus menjadi perhatian dunia pada tahun ini selepas beberapa kes dan kematian dilaporkan melibatkan sebuah kapal persiaran antarabangsa, MV Hondius.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan global kerana ia melibatkan strain Andes virus yang dalam kes tertentu boleh merebak antara manusia

Dalam mendepani isu kesihatan semasa, masyarakat perlu lebih berwaspada kerana ancaman ini bukan sekadar demam biasa, malah boleh menyebabkan kegagalan pernafasan akut dalam tempoh singkat jika tidak dipantau rapi.

Image from: Jangan main sapu je habuk stor lama, takut terkena hantavirus yang boleh ragut nyawa. Ketahui bezanya dengan kencing tikus

SinarPlus baru-baru ini menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, Dr Afif Mohd Ridzwan.

Menurut beliau, pemahaman masyarakat mengenai hantavirus masih rendah berbanding leptospirosis.

"Hantavirus berpunca daripada virus, manakala leptospirosis pula disebabkan oleh jangkitan bakteria yang menular melalui air atau kawasan tercemar dengan air kencing haiwan," jelasnya.

Simptom hantavirus sering menyerang paru-paru dan menyebabkan pesakit mengalami sesak nafas yang teruk.

Berbeza dengan leptospirosis yang lebih banyak melibatkan simptom demam, sakit otot, jaundis, serta kerosakan hati dan buah pinggang.

Apa yang lebih membimbangkan, risiko kegagalan pernafasan bagi pesakit hantavirus berlaku sangat pantas.

Secara klinikal, virus ini bermula dengan tanda demam biasa, sakit badan, dan keletihan.

Namun, dalam beberapa hari, ia boleh berkembang menjadi batuk dan sesak nafas serius sehingga memerlukan bantuan pernafasan segera.

Menyentuh tentang cara penularan, beliau mendedahkan hantavirus daripada tikus liar biasanya menjangkiti manusia melalui habuk yang tercemar dengan najis atau sarang tikus.

"Kebanyakan strain hantavirus jarang berjangkit sesama manusia, namun ia mudah menular apabila kita tersedut habuk yang mengandungi virus daripada air kencing, najis, atau sarang tikus yang kering," katanya lagi.

Image from: Jangan main sapu je habuk stor lama, takut terkena hantavirus yang boleh ragut nyawa. Ketahui bezanya dengan kencing tikus

Virus terbang

Oleh itu, Dr Afif memberikan peringatan agar orang ramai tidak sesekali menyapu, menggunakan vakum, atau meniup habuk di kawasan disyaki menjadi sarang tikus kerana tindakan itu menyebabkan virus terbang ke udara dan masuk ke sistem pernafasan.

"Cara terbaik membersihkan kawasan berisiko adalah dengan memakai sarung tangan dan pelitup muka sesuai.

"Saya sarankan penggunaan penyembur disinfektan atau kain lembap untuk mengelap kawasan kotor bagi mengelakkan habuk berterbangan.

"Selepas membersih, kain tersebut hendaklah terus dibuang ke dalam plastik tertutup dan pastikan tangan dibasuh bersih dengan sabun," ujar pakar itu.

Mengenai pelitup muka, beliau menjelaskan, jenis pembedahan biasa boleh membantu, namun bagi kawasan sangat berisiko seperti stor lama yang tertutup, penggunaan pelitup muka lebih 'advance' sangat digalakkan.

Faktor risiko jangkitan pula tidak dapat lari selagi terdapat populasi tikus tinggi, longkang kotor, serta pengurusan sampah tidak sistematik.

Walaupun kawasan luar bandar mempunyai risiko lebih tinggi, penduduk bandar juga tidak boleh merasa selamat.

Image from: Jangan main sapu je habuk stor lama, takut terkena hantavirus yang boleh ragut nyawa. Ketahui bezanya dengan kencing tikus

Tempoh inkubasi virus ini biasanya mengambil masa sekitar satu hingga lapan minggu selepas pendedahan.

Antara kumpulan berisiko tinggi ialah pekerja gudang, petani, pembersih dan pengendali sampah.

Hingga kini, beliau menjelaskan, tiada ubat antivirus spesifik yang standard untuk merawat hantavirus, tidak seperti leptospirosis yang boleh dirawat dengan antibiotik.

Rawatan utama adalah bantuan sokongan intensif di hospital termasuk oksigen dan hidrasi.

Sebagai langkah pencegahan, Dr Afif menekankan kepentingan mengawal populasi tikus dengan menutup lubang masuk dan membersihkan stor berkala.

"Kita perlu faham matlamat utama adalah menghapus habitat tikus, bukan sekadar membunuhnya," tegasnya lagi.