
PETALING JAYA – Kerajaan digesa supaya tidak memandang remeh setiap masalah atau isu yang dibangkitkan para guru.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, usaha itu penting dalam memastikan kebajikan warga pendidik terbela, terutamanya dari segi kesihatan mental.
“Demi kesejahteraan jasmani, emosi, rohani dan intelektual para guru, beri perhatian lebih serius terhadap kebajikan serta kesihatan menyeluruh para guru.
“Wartakan Akta Perlindungan Guru, sediakan kaunselor khas dan Program Rakan Sebaya Guru selain mempertimbangkan cuti sabatikal kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Mengulas lanjut Mohamad Ali berkata, walaupun pelbagai isu berkaitan disiplin pelajar sering menjadi perhatian, kejadian membabitkan seorang pendidik itu merupakan kejadian ‘luar biasa’ dan mengundang pelbagai persoalan.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya laporan terperinci mengenai kes berkenaan dapat dikongsikan kepada umum apabila siasatan selesai supaya tragedi itu menjadi iktibar dalam membantu usaha pencegahan pada masa hadapan.
“Apa punca tragedi menyayat hati ini berlaku dalam kalangan guru? Adakah rakan sekerja dan ekosistem persekolahan tidak dapat mengesan petanda lebih awal bagi mengelak kejadian itu berlaku,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang guru wanita ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Hulu Selangor, kelmarin sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M. Manimaran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian melalui talian MERS 999 kira-kira pukul 7.15 pagi.
The post Jangan pandang remeh aduan guru – Presiden PIBGN appeared first on Kosmo Digital.
