SHAH ALAM – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung situasi ekonomi global tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia mencerminkan kesedaran awal kerajaan terhadap risiko yang sedang berlaku.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, ada pihak cuba memperlekeh kenyataan Perdana Menteri seolah-olah ia perkara kecil, sedangkan dalam keadaan geopolitik dunia yang semakin tidak menentu, setiap isyarat ekonomi yang diberikan kerajaan adalah penting.
Menurutnya, fakta semasa menunjukkan konflik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat telah menggoncang pasaran tenaga dunia.
“Harga minyak mentah Brent melonjak mendadak dan pernah melepasi paras AS$100 setong, malah penganalisis memberi amaran ia boleh mencecah AS$150 setong sekiranya gangguan bekalan berterusan,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.
Danish berkata situasi itu menjadi lebih membimbangkan apabila konflik berkenaan turut menjejaskan laluan penting seperti Selat Hormuz yang membawa hampir 20 peratus perdagangan minyak dunia.
Ujarnya, gangguan terhadap laluan tersebut boleh menimbulkan risiko krisis tenaga global yang memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia.
Menurut beliau, dalam keadaan sedemikian kerajaan yang bertanggungjawab perlu bersedia lebih awal dari segi fiskal, subsidi bahan api serta kestabilan ekonomi.
“Malaysia tidak kebal daripada kejutan harga tenaga dunia kerana lonjakan harga minyak global boleh memberi tekanan kepada inflasi, nilai mata wang serta kos sara hidup rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Danish berkata kenyataan Perdana Menteri mungkin kelihatan ringkas, namun mesejnya jelas bahawa kerajaan sedang memberi amaran awal dan membuat persediaan ekonomi bagi menghadapi ketidaktentuan global.
Beliau berkata adalah ironis apabila masih ada pihak yang memilih untuk mempersendakan perkara berkenaan.
“Mungkin kerana mereka tidak pernah memahami bahawa dalam pengurusan ekonomi negara, isyarat kecil hari ini boleh menentukan kestabilan besar pada masa hadapan,” tambahnya.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menerusi satu hantaran di media sosial mempersoalkan keperluan kerajaan membuat pengumuman khas berkaitan beberapa perkara yang menurutnya boleh dimaklumkan melalui saluran biasa.
Menurut beliau, isu seperti harga minyak yang kekal, larangan mengadakan jamuan raya serta perjalanan menteri ke luar negara sepatutnya boleh dimaklumkan melalui berita, pekeliling kepada kementerian dan agensi atau dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tanpa perlu menunggu satu pengumuman khas kepada seluruh negara.
