Jangan perkecil usaha diplomasi PM kerana politik sempit - PKR Kedah

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 8:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan perkecil usaha diplomasi PM kerana politik sempit - PKR Kedah
Tunku Nashrul Abaidah

ALOR SETAR – Kenyataan yang memperkecil usaha diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani krisis antarabangsa disifatkan tidak wajar dan bermotifkan politik sempit.

Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, tindakan menghubungi pemimpin dunia secara langsung merupakan pendekatan penting dalam landskap geopolitik semasa yang semakin kompleks dan pantas berubah.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak memperlekeh usaha diplomasi yang dilakukan hanya kerana perbezaan politik, sebaliknya memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat dan keselamatan negara.

“Janganlah kita memperkecil usaha diplomasi hanya demi kepentingan politik sempit, sedangkan hasilnya memberi kesan langsung kepada keselamatan dan ekonomi negara.

“Dalam keadaan krisis global yang saling berkait, kepimpinan memerlukan tindakan pantas termasuk komunikasi terus antara pemimpin bagi menyelaras respons dan meredakan ketegangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah yang menyifatkan tindakan Perdana Menteri menghubungi pemimpin negara lain sebagai perkara biasa dan tidak wajar dianggap sebagai pencapaian luar biasa.

Tunku Nashrul yang juga Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri berkata, dakwaan bahawa pendekatan tersebut sekadar 'diplomasi biasa' adalah tidak tepat kerana situasi semasa memerlukan tindakan strategik dan responsif.

Sebagai contoh, katanya, Anwar telah menerima panggilan lebih awal daripada rakan sejawatnya dari Pakistan sebelum tampil sebagai orang tengah dalam rundingan melibatkan Amerika Syarikat dan Iran.

“Perkembangan ini membuktikan diplomasi hari ini tidak lagi terikat kepada kerangka formal semata-mata, sebaliknya memerlukan kecekapan serta keupayaan bertindak segera,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, pendekatan tersebut membuahkan hasil apabila Malaysia antara negara terawal berjaya memastikan laluan kapal minyaknya tidak terjejas ketika krisis berlaku.

“Dalam keadaan ratusan kapal dari pelbagai negara masih terkandas, Malaysia berjaya mengurus situasi dengan lebih awal hasil pendekatan diplomasi yang strategik dan berkesan,” katanya.

Tambahnya, dalam era teknologi dan keterbukaan maklumat, rakyat berhak mengetahui langkah yang diambil kerajaan dalam melindungi kepentingan negara termasuk aspek keselamatan dan ekonomi.

Terdahulu, media melaporkan perbahasan hangat tercetus pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu berhubung isu krisis minyak global serta tindakan kerajaan Persekutuan dalam menangani bekalan dan harga bahan api.

Dalam perbahasan tersebut, Dr Haim Hilman dilaporkan berkata, hubungan Malaysia dengan Iran bukan sesuatu yang luar biasa dan tindakan menghubungi pemimpin negara lain merupakan amalan biasa dalam hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G), selain tidak perlu diperbesarkan kepada umum.