DI tengah hiruk-pikuk kehidupan kota, kadang-kadang kita lupa kebaikan itu masih wujud. Diam dan sederhana tetapi cukup untuk menyelamatkan rasa kemanusiaan yang semakin pudar.
Kisah seorang lelaki dikenali sebagai Dicky menjadi antara contoh paling dekat. Dalam keadaan motosikalnya rosak di tepi jalan, mungkin ramai hanya lalu tanpa menoleh.
Namun, di saat itulah muncul insan berhati mulia yang menggelar dirinya 'minyak hitam jalanan' tampil membantu tanpa banyak soal.
Bukan kerana kenal, bukan kerana mahukan balasan tetapi kerana hatinya didorongkan Tuhan untuk berbuat baik, digerakkan rasa empati yang tidak semua orang miliki.
Dalam dunia hari ini, bantuan kecil seperti itu semakin mahal nilainya. Kita terlalu sibuk, terlalu berhati-hati atau mungkin terlalu tidak peduli. Tetapi bagi Dicky, detik itu pasti menjadi ingatan bahawa di saat susah, Tuhan tidak meninggalkannya sendirian. Malah, pertolongan itu hadir melalui tangan manusia lain yang hatinya telah digerakkan oleh-Nya.
Begitu juga kisah melibatkan Azar Azmi dan Norish Karman. Di sebalik ujian yang mereka lalui, hadir pula Aliff Syukri yang tampil menghulurkan bantuan. Mungkin bagi sesetengah orang, ia sekadar cerita biasa.
Namun, bagi yang melalui kesulitan, bantuan itu membawa makna yang jauh lebih besar, bukan sekadar sokongan tetapi tanda bahawa ALLAH sedang mengatur jalan keluar, memilih siapa yang akan hadir membantu pada waktu yang tepat.
Ini bukan soal siapa lebih hebat, siapa lebih betul. Ini soal bagaimana ALLAH mengatur perjalanan hidup manusia, yang satu diuji, yang satu lagi dipilih dan hatinya didorongkan untuk menjadi perantara kebaikan.
Namun seperti biasa, tidak semua melihat dari sudut yang sama. Media sosial menjadi ruang paling pantas untuk menghukum. Ada yang mempertikai, ada yang sinis, tidak kurang juga yang menjadikan situasi orang lain sebagai bahan ejekan. Seolah-olah setiap ujian orang lain adalah pentas hiburan.
Hakikatnya, kesan budaya negatif ini bukan kecil. Satu kajian oleh American Psychological Association mendapati individu yang terdedah kepada ejekan, sindiran atau mockery secara berterusan berisiko mengalami tekanan emosi, penurunan keyakinan diri dan peningkatan tahap stres di tempat kerja.
Dapatan ini membuktikan bahawa apa yang dianggap 'gurauan biasa' sebenarnya boleh memberi kesan psikologi yang serius.
Lebih membimbangkan, budaya ini kadangkala membawa kepada akibat lebih buruk. Di Malaysia sendiri, pernah berlaku kes seorang pekerja meragut nyawa rakan sekerjanya selepas dipercayai tidak tahan diejek, diumpat dan dipersenda di tempat kerja.
Tragedi seperti ini bukan sekadar berita jenayah tetapi cerminan betapa seriusnya kesan buli verbal dan budaya mengumpat yang tidak dibendung.
Ironinya, budaya ini bukan hanya hidup di alam maya, tetapi turut menular dalam pejabat. Rakan sekerja dijadikan bahan lawak, kesilapan kecil diperbesar-besarkan, malah ada yang menjadikan kelemahan orang lain sebagai topik harian. Kononnya gurauan, tetapi hakikatnya menggores perasaan.
Tidak semua orang kuat untuk ketawa bersama sindiran. Ada yang diam tetapi memendam, ada yang senyum tetapi terluka dan ada yang akhirnya hilang semangat untuk terus berada dalam persekitaran yang toksik.
Sama seperti kita melihat kisah Dicky, Azar dan Norish. Mudah untuk bercakap, mudah untuk menilai tetapi sukar untuk benar-benar memahami. Siapa kita untuk mempertikaikan kerja Tuhan?
Dalam setiap ujian, pasti ada jalan yang ALLAH buka. Kadang-kadang melalui orang yang kita tidak sangka, yang hatinya digerakkan untuk membantu tanpa sebab yang jelas. Kadang-kadang melalui mereka yang kita pernah pandang biasa.
Mungkin hari ini kita melihat, esok lusa kita pula diuji. Jadi, sebelum jari laju menaip komen, sebelum mulut ringan mengeluarkan sindiran, ingatlah, setiap manusia sedang berjuang dengan cara mereka sendiri.
Dan dalam dunia sekarang ini, memilih untuk jadi baik bukan kelemahan. Itu kekuatan yang lahir daripada hati yang telah didorongkan oleh Tuhan.
*Asmaliza Mansor ialah Sub Editor Sinar Harian
