
KUALA LUMPUR - Kecanggihan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada nilai manusiawi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) misalnya, hanya akan adil dan bermanfaat jika berakar pada etika, budaya, sejarah serta akhlak yang selari dengan nilai serta keyakinan kita.
Katanya, semua aspek tersebut perlu diberi penekanan agar hasil yang lahir daripada kecanggihan teknologi tersebut mencerminkan kebenaran, bukan sekadar kepintaran tanpa jiwa.
“Jurang digital yang melebar dan membengkak berpotensi menjejaskan cita-cita kita terhadap keadilan sosial, menyebabkan desa dan pedalaman terus ketinggalan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian sewaktu merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) 2025 di Putrajaya petang tadi.
Jelas Perdana Menteri, beliau dalam ucapannya menyentuh perihal tantangan serta masa depan ilmu kemanusiaan dalam era kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital.
“Saya hargai keberanian universiti awam yang pantas menyahut cabaran ini dengan menubuhkan fakulti baharu dalam bidang AI serta mempercepatkan penyelidikan dan latihan.
“Namun, saya juga mengingatkan tentang productivity paradox, yakni pelaburan berbilion dalam AI dan digital yang tidak diterjemah kepada produktiviti yang seimbang,” katanya.

Anwar berkata, transformasi digital kini menjadi teras perjalanan negara, dengan Malaysia merekodkan pelaburan besar dalam semikonduktor dan E&E.
Tambah beliau, kecanggihan teknologi yang menjadi dambaan damai tidak boleh menenggelamkan rasa ihsan.
“Namun inilah yang terjadi di Gaza hari ini, apabila teknologi canggih dan AI dijadikan senjata untuk mengabsahkan kezaliman, menindas tanpa belas, melanggar kewarasan akal serta melampaui batas kemanusiaan.
“Maka dalam keghairahan kita untuk ‘menggapai di langit,’ jangan sesekali dilupakan tekad untuk ‘mengakar ke bumi,’ berpaut pada nilai, budaya, sejarah, agama dan akhlak,” katanya. - Getaran, 10 September 2025
