'Jangan rasa malu untuk guna pendekatan kerajaan PN bantu peniaga' - Radzi Jidin

LocalPolitics
5 May 2026 • 10:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan rasa malu untuk guna pendekatan kerajaan PN bantu peniaga' - Radzi Jidin
Mohd Radzi

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin menasihatkan kerajaan untuk tidak segan-silu mengguna pakai pendekatan yang diambil Perikatan Nasional (PN) sebelum ini bagi membantu peniaga berdepan tekanan ekonomi semasa.

Beliau berkata, langkah-langkah yang diperkenalkan kerajaan PN ketika pandemik Covid-19 sebelum ini terbukti berkesan dalam memastikan kelangsungan perniagaan dalam situasi krisis.

Menurutnya, pemberian diskaun atau pengecualian sewa premis kerajaan wajar dilaksanakan lebih awal susulan kesan konflik di Asia Barat yang meningkatkan kos operasi peniaga.

"Pada 20 Mac lalu iaitu pada hari ke-21 konflik perang berlangsung, saya telah keluarkan kenyataan dan ketika itu, tiada satu pendekatan menyeluruh oleh kerajaan bagi membantu peniaga khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebelum keadaan semakin meruncing.

"Susulan itu, saya cadangkan agar kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan PN ketika menangani kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi.

"Antara yang disentuh adalah pemberian diskaun atau pengecualian sewa kepada peniaga kecil yang menyewa premis milik kerajaan dan langkah ini pernah dilaksanakan terbukti membantu kelangsungan perniagaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Terdahulu, kerajaan mengarahkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan milik agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) berkuat kuasa serta-merta bulan ini bagi meringankan beban peniaga dan penjaja.

Mohd Radzi menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai 'lebih baik lewat daripada tiada langsung' selepas 67 hari konflik perang di Asia Barat berlangsung.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan inisiatif itu diperluaskan kepada pengusaha kantin sekolah diseluruh negara yang terkesan dengan tekanan kos operasi.

"Nasihat saya kepada kerajaan, jangan rasa malu untuk menggunakan pendekatan Kerajaan PN sebelum ini.

"Setiap langkah yang dibuat oleh kerajaan PN dalam membantu peniaga khususnya PMKS sewaktu Covid-19 dibuat bagi memastikan peniaga di pelbagai peringkat terus dapat bertahan dalam situasi ekonomi yang sukar," katanya lagi.

END