DUA kebakaran hutan berlaku di Selangor dalam tempoh beberapa hari membabitkan kira-kira 2.2 hektar di Pelabuhan Klang, Sabtu dan 2.8 hektar di Seksyen 14, Shah Alam, pada Isnin.
Kejadian itu berlaku ketika negara berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang lazimnya membawa keadaan lebih panas dan kering, selain fenomena El Nino yang kini dipantau Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia. Suhu tinggi tidak semestinya menyebabkan kebakaran, tetapi cuaca panas kering boleh menyebabkan persekitaran lebih mudah terbakar.
Daun gugur, rumput, ranting dan tumbuhan yang kehilangan kelembapan boleh menjadi bahan bakar.
Apabila berlaku pembakaran terbuka seperti puntung rokok dibuang sembarangan, percikan api atau kecuaian manusia dalam keadaan cuaca kering menyebabkan api mudah merebak. Dalam erti kata lain, cuaca panas mungkin bukan 'tangan' yang menyalakan api, tetapi boleh menyediakan bahan untuk api terus marak.
MET Malaysia sebelum ini memberi amaran El Nino boleh menyebabkan keadaan lebih panas dan kering daripada biasa sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.
Lebih penting, fenomena El Nino dijangka berterusan sehingga awal tahun depan berpotensi menjadi lebih kuat menjelang penghujung tahun ini.
Keadaan itu tidak bermakna Selangor pasti berdepan gelombang kebakaran besar, tetapi tempoh panas dan kering yang lebih panjang perlu diambil serius kerana tempoh risiko kebakaran juga boleh menjadi lebih lama. Selangor memiliki banyak kawasan hutan, bukit, belukar dan tanah terbuka berhampiran perumahan penduduk serta pembangunan.
Apabila berlaku kebakaran, asap dan bau bergerak ke kawasan penduduk menjadikan isu itu bukan lagi soal keselamatan hutan tetapi juga kualiti udara.Lebih membimbangkan, jika beberapa kebakaran berlaku pada masa sama kerana jumlah asap yang dilepaskan boleh meningkat terutama ketika tiupan angin lemah menyebabkan asap lebih mudah berkumpul di sesuatu kawasan.
Asap kebakaran pula mengandungi zarah halus boleh menjejaskan kualiti udara memberi kesan kepada kesihatan terutama golongan lebih terdedah seperti kanak-kanak, warga emas dan individu sensitif terhadap pencemaran udara. Setiap kebakaran yang berlaku ketika cuaca kering wajar dilihat lebih daripada sekadar jumlah hektar yang musnah.
Sebaliknya, ia juga berkait rapat dengan berapa banyak asap yang terhasil, ke mana asap itu bergerak dan siapa yang terdedah kepada pencemarannya. Isu ini menjadi lebih penting apabila negara bakal menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini dengan pelbagai program dan aktiviti luar.
Sekiranya kebakaran terbuka meningkat dan keadaan jerebu bertambah buruk, kualiti udara yang tidak sihat berpotensi menjejaskan aktiviti orang ramai seperti perbarisan, persembahan dan program di kawasan terbuka. Lebih ramai berada di luar dalam tempoh panjang bermakna lebih ramai terdedah udara tercemar sekiranya bacaan kualiti udara merosot.
Sambutan Hari Kebangsaan sepatutnya menyaksikan Jalur Gemilang berkibar dalam suasana meriah, bukannya diselubungi asap. Pemantauan kawasan berisiko, pengesanan awal kebakaran, tindakan terhadap pembakaran terbuka serta pemantauan kualiti udara perlu bergerak seiring.
Jangan biarkan satu percikan kecil menjadi api besar yang bukan sahaja membakar kawasan hijau, malah menjejaskan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.
*Mohd Izzatul Izuan ialah wartawan Sinar Harian Selangor



![[VIDEO] Jerebu Kalimantan makin teruk, jarak 20 meter tak nampak apa](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/jerebu-1-1024x650.jpeg)