Jangan sampai wujud persepsi Rafizi tidak tahan dalam politik: penganalisis

LocalPolitics
14 May 2025 • 11:00 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Kenyataan beremosi Datuk Seri Rafizi Ramli termasuk mahu meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi jika gagal mempertahan jawatan Timbalan Presiden PKR tidak memberikan keuntungan, sebaliknya hanya mencipta persepsi negatif terhadapnya.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik Mazlan Ali berkata, Rafizi seharusnya terbuka menerima demokrasi yang berlaku dalam parti.

Pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, sebagai ahli politik, Ahli Parlimen Pandan itu perlu menguruskan cabaran dengan baik dan bukan mencipta naratif memberi gambaran buruk kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya tewas perebutan jawatan nombor dua parti.

“Sekiranya Rafizi memilih untuk letak jawatan selepas kalah pemilihan, Rafizi perlu menanggung sendiri implikasinya 

“Dia akan mencipta persepsi negatif atas tindakannya itu, orang akan kata dia tak tahan dalam politik, jadi wujudlah persepsi. 

“Rafizi kena terima demokrasi yang berlaku, menang kalah adat bertanding, jangan bila kalah kita lawan parti. Sebagai ahli politik kena matang, akar umbi tak nak kita, parti tak nak kita, takpa lah, cuba lagi pemilihan akan datang,” katanya hari ini. 

Terdahulu, Rafizi berkata, beliau akan melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan dalam parti itu. 

Jelasnya, beliau akan kekal memegang jawatan ahli Parlimen kerana masih mahu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat. 

image is not available
Mazlan Ali (gambar) berpendapatan sekiranya Rafizi memilih untuk letak jawatan selepas kalah pemilihan, Rafizi perlu menanggung sendiri implikasinya. – Gambar Bernama, 14 Mei, 2025

Rafizi, dalam siri ceramahnya di Kulim, Kedah pada hari Isnin, mengajak perwakilan PKR supaya memenangkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR.

Menurutnya, jika Nurul Izzah tewas dalam pemilihan itu ia boleh mencetuskan naratif atau polemik bahawa anggota parti menolak kepimpinan Presiden PKR, Anwar Ibrahim. 

Selain itu Mazlan berkata, tiada keperluan untuk Rafizi meletak jawatan sebagai menteri sebaliknya menguruskan perkara berbangkit dalam parti dengan baik. 

“Datuk Seri Saifuddin Nasution kalah dahulu pemilihan timbalan, kekal sahaja beliau dalam Kabinet, tidak ada masalah. 

“Kalau Rafizi kalah sekali pun, tak perlu pun letak jawatan Menteri Ekonomi, dia boleh teruskan tugasnya sebagai menteri, jawatan dalam parti tidak ada kena mengena dengan jawatan Kabinet,” katanya. 

Dalam pada itu beliau berpandangan, Perdana Menteri berkemungkinan tidak akan melantik Nurul Izzah menganggotai Kabinet sekali memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR. 

“Nurul Izzah kalau menang Timbalan Presiden PKR, belum tentu dia akan dilantik, biarpun  pegang jawatan kanan dalam parti, tidak semestinya dia perlu dilantik ke dalam Kabinet. 

“Dulu contoh Tun Ghafar Baba,ahli politik kanan dalam Umno, berapa tahun dia dalam Umno sebagai Naib Presiden namun tidak dilantik anggotai Kabinet. 

‘Sebab ini semua prerogatif Perdana Menteri, sebab tidak ada peraturan kata timbalan presiden parti mesti dilantik anggotai Kabinet. Kalau pun dilantik, dia (Izzah) tak akan ganti jawatan Rafizi sebagai MenterinEkonomi,” katanya. 

Pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR kali ini menyaksikan Rafizi berdepan saingan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar. 

Pemilihan PKR akan diadakan di Johor Bahru pada 22 hingga 24 Mei ini. - 14 Mei, 2025