Jangan sekadar bawa modal, pelabur asing perlu perkasa tenaga tempatan – Fadillah

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 1:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan sekadar bawa modal, pelabur asing perlu perkasa tenaga tempatan – Fadillah
Fadillah (dua dari kanan) dan Ab Rauf menerima taklimat sebelum perasmian dimulakan.
Image from: Jangan sekadar bawa modal, pelabur asing perlu perkasa tenaga tempatan – Fadillah
Fadillah (tengah) diiringi Ab Rauf pada perasmian Persidangan Tahunan Jawatankuasa Penjanaan Kuasa Turbin Gas CGNEI 2026 di Alor Gajah pada Rabu.

ALOR GAJAH - Pelabur asing yang melabur di negara ini perlu memainkan peranan lebih besar dalam membangunkan keupayaan syarikat dan tenaga kerja tempatan, bukan sekadar membawa masuk modal serta teknologi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setiap pelaburan seharusnya memberi nilai tambah kepada negara tuan rumah menerusi penglibatan syarikat tempatan dalam keseluruhan rantaian nilai industri.

Menurutnya, aspek pemindahan teknologi, pembangunan pembekal tempatan dan latihan tenaga kerja berkemahiran perlu menjadi antara keutamaan pelabur asing bagi memastikan manfaat pelaburan dapat dinikmati dalam jangka panjang.

“Saya mengharapkan lebih banyak syarikat dan pelabur dari luar apabila melabur di Malaysia, bukan sahaja mencari rakan kongsi tempatan, tetapi melibatkan keseluruhan rantaian nilai, daripada aspek pembekalan dan sebagainya serta memberi keutamaan kepada orang tempatan.

“Pada masa sama, mereka perlu melatih tenaga tempatan supaya kita dapat melaksanakan pemindahan teknologi dan meninggalkan sesuatu yang berkekalan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Jawatankuasa Penjanaan Kuasa Turbin Gas CGNEI 2026 di Pusat Latihan EPH, Loji Janakuasa Edra Melaka (EMPP), Kuala Sungai Baru Masjid Tanah di sini pada Rabu.

**media[3699443]**

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi CGN Energy International Holdings Co. Limited (CGNEI), Zhang Chaoqun.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, langkah itu penting supaya rakyat Malaysia bukan sahaja berpeluang mendapat pekerjaan, malah mampu menguasai kemahiran teknikal tinggi dan meningkatkan pendapatan.

Fadillah berkata, kerjasama jangka panjang dengan syarikat antarabangsa mampu memberikan manfaat lebih besar sekiranya disertai perkongsian pengalaman operasi, kepakaran dan pembangunan keupayaan syarikat tempatan.

Tambah beliau, peningkatan keupayaan tempatan bukan sahaja mengukuhkan industri tenaga negara, malah membolehkan Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam usaha memperkukuh keselamatan tenaga di peringkat serantau.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, pusat latihan yang diwujudkan menerusi inisiatif CGN dan Edra Power Holdings berpotensi menjadi platform melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang operasi penjanaan tenaga, khususnya teknologi turbin gas.

Katanya, kemudahan itu membuka ruang kepada tenaga kerja tempatan khususnya di Melaka untuk meningkatkan kemahiran, sekali gus memperluaskan peluang kerjaya dalam industri berkenaan.

“Ini penting untuk melatih tenaga kerja di Malaysia supaya mereka bukan sahaja menjadi pekerja mahir, tetapi akhirnya dapat meningkatkan pendapatan.

“Mereka juga telah bersetuju untuk membuka peluang ini bukan sahaja kepada Melaka, tetapi untuk seluruh Malaysia,” katanya.

Persidangan anjuran CGNEI itu menghimpunkan 120 pemimpin industri, jurutera dan rakan teknologi dari lima negara bagi membincangkan pembangunan industri tenaga serta teknologi penjanaan kuasa.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved