Jangan sekat demokrasi dalam Umno: Bung Moktar

Politics
17 Aug 2022 • 4:01 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat diingatkan agar tidak menyekat mana-mana cawangan untuk bergerak aktif termasuklah menyekat golongan muda dan profesional daripada menyertai parti itu.

Ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata terdapat kes di beberapa bahagian yang menyekat cawangan-cawangan Umno dari mengadakan mesyuarat perwakilan cawangan dan aktiviti lain kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan bahagian.

“Perkara ini ada berlaku di beberapa bahagian disebabkan pemimpin cawangan tidak menyokong kepimpinan Ketua Umno Bahagian menyebabkan cawangan tersisih dan tidak dapat mengadakan mesyuarat cawangan,” katanya ketika berucap merasmikan program Permukiman Umno Negeri Melaka di sebuah hotel di sini, Isnin lepas.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh dan Timbalan ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan.

Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata perbuatan menyekat cawangan -cawangan yang tidak sehaluan ini bukanlah satu amalan demokarasi yang sehat dalam parti sebaliknya boleh menjejaskan kekuatan parti.

“Alhamdulilah di Sabah, saya belum menerima laporan kes seperti ini, bagaimanapun sekiranya ia berlaku, tindakan tegas akan dilakukan termasuk mengantung bahagian terlibat,” jelas Bung.

Beliau menambah, pemimpin Umno perlu mengubah persepsi dalam perkara itu dan memberi keutamaan untuk memperkukuhkan parti demi kepentingan negara.

Beliau seterusnya mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak menjadikan ancaman kedudukan dalam parti sebagai alasan bagi menyekat cawangan dan golongan muda, profesional menyertai parti kerana ia akan merugikan Umno sendiri.

Menurutnya jika kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan sentiasa bekerja keras menjalankan kerja-kerja parti, mereka tidak perlu gusar akan kehilangan jawatan kerana anggota akan terus menyokong mereka.

Mengulas program Permukiman Umno Melaka yang memilih Sabah sebagai lokasi program, Bung berharap permukiman tersebut akan dapat memberikan sumber inspirasi baharu kepada pemimpin Umno Melaka untuk memperkukuhkan parti.

“Kita telah mengembalikan maruah Umno dengan kemenangan besar semasa PRN Melaka.

“Solidariti perjuangan ini perlu terus dipertingkatkan dan saya berharap pemilihan Sabah sebagai lokasi program ini akan memberikan idea baharu kepada pemimpin Umno Melaka.

“Ini kerana Umno Sabah mempunyai sejarah perjuangan yang berliku selepas PRU Ke-14 kerana ditinggalkan ramai pemimpin, namun kerana masih ada pemimpin Umno yang teguh dengan prinsip perjuangan, Umno Sabah bangkit selepas PRK Kimanis dan PRN ke-16.

“Sehingga kini Umno masih bertapak di Sabah walau ada pihak mendakwa akan terkubur selepas PRU ke-14,” kata Bung.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.