
SHAH ALAM – Semua pihak diminta tidak membuat tuduhan secara selektif berhubung isu tindakan ke atas seekor anjing di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan terhadap haiwan liar telah dilakukan dan perlu berhemah dengan dilaksanakan mengambil kira keseimbangan aspek keselamatan awam dan kebajikan haiwan.
Jelas beliau, tuduhan segelintir pihak bahawa tiada tindakan dibuat oleh pihak berkuasa dan pegawai berkaitan tidak sepatutnya berlaku.
“Sebab itu saya sebut titik keseimbangan iaitu kita perlu buat tindakan bagi elak kejadian anjing liar atau haiwan yang boleh menyebabkan faktor keselamatan.
“ADUN Pelabuhan Klang juga ada membangkitkan isu itu di dalam dewan dan bukannya ia tidak pernah dibangkitkan. Jadi, jangan bersikap selektif dalam membuat tuduhan,” katanya selepas majlis perhimpunan penjawat awam dan pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai dakwaan penduduk bahawa nyawa anjing lebih berharga daripada manusia kerana banyak isu hanya dibangkitkan apabila haiwan itu mati.
Mengulas lanjut, kata Amirudin, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut bersikap tegas dan prihatin terhadap isu berkenaan.
“Janganlah marah ada orang nak fokus dengan kebajikan haiwan dan ada juga menjaga kebajikan manusia.
“Kita juga akan mengambil tindakan berterusan terutama kepada haiwan liar dan kerajaan negeri akhirnya akan mengutamakan kemaslahatan umum,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden kekejaman terhadap haiwan peliharaan dan terbiar khususnya anjing serta kucing yang masih berlaku sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Jangan selektif tuduh isu anjing – MB Selangor appeared first on Kosmo Digital.





![[VIDEO] Tiada SOP dilanggar dalam operasi tangkap anjing – MBDK](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/Untitled-design-2026-08-03T143429.210.png)
