'Jangan sembang reformasi jika MP PJ sendiri ponteng 30 sesi RTPJ'

LocalPolitics
13 May 2026 • 6:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan sembang reformasi jika MP PJ sendiri ponteng 30 sesi RTPJ'
Bryan Ng

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyelar Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung kerana didakwa mempertikaikan masa depan bandar itu secara terbuka, namun gagal memainkan peranan dalam sesi perancangan tempatan yang dianggap kritikal.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Bryan Ng Yih Miin berkata, rekod rasmi menunjukkan Chean Chung hanya menghadiri dua daripada 32 sesi Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) yang diadakan antara Oktober 2024 hingga Mei 2026.

Menurut beliau, tindakan tersebut menyebabkan kerusi wakil rakyat berkenaan sering kosong ketika mesyuarat penting yang bertujuan membincangkan pembangunan bandar dan kepentingan penduduk.

“Secara ironinya, Chean Chung menuduh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak telus sedangkan beliau sendiri hanya hadir dua sesi daripada 32 sesi rasmi yang dianjurkan sejak Oktober 2024.

“Beliau mengetahui sepenuhnya mengenai jemputan mesyuarat tersebut, namun memilih untuk tidak menghadiri 30 sesi rasmi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bryan menjelaskan, RTPJ merupakan pelan induk pembangunan Petaling Jaya bagi tempoh antara 10 hingga 15 tahun yang merangkumi pembangunan bangunan tinggi, pengurusan trafik, sistem perparitan serta integrasi pengangkutan awam.

Tambahnya, kegagalan mengurus pelan berkenaan dengan baik boleh memberi kesan terhadap kualiti hidup penduduk bandar berkenaan untuk tempoh yang panjang.

"Beberapa isu teknikal yang kini dibangkitkan Lee seperti kajian trafik dan penilaian kepadatan penduduk sebenarnya telah dibincangkan dalam sesi yang tidak dihadirinya.

"Kegagalan menghadiri mesyuarat tersebut secara tidak langsung menafikan suara rakyat Petaling Jaya dalam forum yang menentukan hala tuju pembangunan bandar itu," ujarnya.

Bryan turut menegaskan bahawa isu pengangkutan awam dan kesalinghubungan ‘last mile’ merupakan antara topik utama yang dibincangkan dalam sesi teknikal RTPJ.

“Sebagai ahli Parlimen, beliau sepatutnya hadir untuk mengemukakan cadangan rasmi, bukannya sekadar mengkritik dari luar,” katanya.

Sebelum ini, Chean Chung dilaporkan membangkitkan isu tempoh menunggu perkhidmatan atas permintaan selain mencadangkan laluan bas mini bagi mengurangkan kesesakan.

Bagaimanapun, PKR menegaskan ahli Parlimen itu mempunyai saluran rasmi untuk mengemukakan cadangan terus kepada MBPJ berbanding membincangkannya di media sosial.

Dalam pada itu, Bryan turut mendakwa tindakan Chean Chung mengeluarkan kenyataan media tanpa pelan tindakan jelas bukan perkara baharu.

Beliau berkata, ketika kejadian banjir kilat di Taman Sri Manja dan Jalan 223 pada April 2025, Chean Chung hanya mengeluarkan kenyataan media yang mencadangkan kajian dilakukan.

"Malah, setahun kemudian pada Mei 2026, beliau mengeluarkan kenyataan hampir sama tanpa sebarang garis masa atau tindakan konkrit," katanya.

Bryan turut menggesa Chean Chung supaya tidak menggunakan retorik reformasi bagi menutup kelemahan prestasi sendiri.

"Rakyat Petaling Jaya memerlukan ahli Parlimen yang bekerja dalam bilik mesyuarat, bukan sekadar ‘jaguh papan kekunci’ yang hanya mengkritik selepas kerja teknikal hampir selesai," katanya.

View Original Article