
SEMPORNA: Masyarakat diseru agar tidak menyentuh sebarang isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, semua pihak perlu saling berlapang dada dan tidak memanjangkan atau berdebat mengenai sebarang isu yang boleh mencetus pergolakan dalam negara.
Mohd Shafie berkata, semua pihak perlu meninggalkan pertelingkahan dan menolak sebarang perpecahan kaum dan agama.
Katanya, adalah penting untuk pihak tanpa mengira kaum dan agama, juga fahaman politik berusaha mengukuhkan perpaduan.
“Yang penting kepada kita untuk membolehkan supaya kita dapat kentalkan usaha kita menyatukan umat dalam bulan yang baik, bulan Ramadan ini.
“Ini adalah satu tuntutan bukan hanya untuk umat Islam, bahkan umat lain, agama lain juga menuntut supaya ada kesatuan, kesepaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan, berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 600 asnaf dari Senallang, Bugaya dan Sulabayan, pada Jumaat.
Turut hadir Adun Sulabayan, Datuk Dr Jaujan Sambakong dan Adun Bugaya, Jamil Hamzah.
