Jangan spekulasi tarikh 1 Syawal

LocalPolitics
28 Feb 2026 • 8:40 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Umat Islam diingatkan agar tidak membuat andaian awal mengenai tarikh 1 Syawal, sebaliknya menunggu pengumuman rasmi pihak berautoriti.

Dalam kenyataan di Facebook rasmi, Jabatan Mufti Negeri Perak menegaskan masyarakat perlu bertenang dan memahami bahawa perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi adalah lumrah dalam disiplin falak.

“Takwim Hijrah yang diedarkan kepada umum disusun berdasarkan data hisab sebagai panduan perancangan tahunan. Walau bagaimanapun, penetapan rasmi 1 Syawal adalah tertakluk kepada proses rukyah hilal pada petang 29 Ramadan serta pengisytiharan pihak berautoriti dan sebarang perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi bukanlah sesuatu yang luar biasa,” jelas kenyataan itu.

Rukyah dan hisab bersepadu

Malaysia mengamalkan pendekatan rukyah dan hisab secara bersepadu. Secara prinsip falak, hilal yang berada di atas ufuk ketika matahari terbenam berpotensi untuk dilihat. Namun, tahap kebolehlihatan bergantung kepada faktor teknikal seperti altitud dan jarak bulan–matahari (elongasi).

“Hilal yang terlalu rendah atau hampir dengan ufuk mempunyai potensi kenampakan yang sangat lemah walaupun secara teorinya ia telah wujud. Oleh itu, kewujudan hilal di atas ufuk tidak semestinya menjamin kenampakan secara fizikal,” menurut jabatan itu.

Faktor cuaca penentu

Selain parameter falak, keadaan atmosfera turut memainkan peranan besar. Awan tebal, jerebu atau gangguan atmosfera boleh menutup peluang cerapan.

“Sebaliknya, dalam keadaan atmosfera yang sangat baik – sesuatu yang jarang berlaku di Malaysia – hilal kadangkala berjaya dicerap. Ini menunjukkan keputusan penetapan tidak hanya bergantung kepada data kiraan tetapi juga realiti cerapan di lapangan,” jelas kenyataan itu lagi.

Tahun ini lebih mencabar

Jabatan Mufti Negeri Perak menjelaskan bahawa kedudukan hilal Syawal tahun ini lebih rendah berbanding 2022, menjadikan cerapan lebih sukar secara teknikal. Walau bagaimanapun, keputusan rasmi tetap bergantung kepada dapatan cerapan sebenar, proses pengesahan dan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Jabatan itu turut menggalakkan masyarakat membuat persiapan Aidilfitri secara terancang dan awal bagi mengelakkan kesulitan di saat akhir.

Kebimbangan masyarakat di media sosial bahawa 1 Syawal bakal jatuh pada 20 Mac (Jumaat) berbanding jangkaan 21 Mac (Sabtu) telah menimbulkan perdebatan. Situasi ini mengingatkan kembali kepada tahun 2022 apabila Aidilfitri disambut sehari lebih awal daripada jangkaan. - 28 Februari, 2026

The post Jangan spekulasi tarikh 1 Syawal appeared first on Scoop.