
“Jangan Terlalu Yakin,” Anwar Seloroh Dengan PM Vietnam Menjelang Kelayakan Piala Asia
Pertembungan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 Jun ini semakin hangat dirasai.
Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski dijangka tampil garang bagi meraih kemenangan kedua di tempat sendiri selepas menewaskan Nepal sebelum ini. Malaysia dan Vietnam kini berkongsi mata dalam saingan kumpulan yang hanya akan menyaksikan juara kumpulan menempah tiket ke Piala Asia di Arab Saudi, lapor Stadium Astro.
Dalam suasana penuh muhibah semasa Persidangan ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat berseloroh dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chinh.
“Saya telah memaklumkan Perdana Menteri, Pham Minh Chinh, jangan terlalu yakin kerana kami benar-benar memberikan segalanya kali ini dan sangat bersedia.
“Vietnam mempunyai pasukan yang sangat hebat. Ia adalah satu pertarungan yang sukar, tetapi kami mempunyai pasukan kami yang penuh semangat, ketabahan.
“Saya memberitahunya jika kami menang, saya akan menghubunginya. Jika tidak, saya akan tidur sahaja,” seloroh beliau sambil ketawa bersama Chinh.
Kenyataan itu disambut dengan senyuman mesra daripada pihak Vietnam dan memberi bayangan Anwar berkemungkinan hadir menyaksikan aksi Harimau Malaya di SNBJ.
Terdahulu, Anwar telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Chinh pada 25 Mei sempena lawatan rasmi pertama pemimpin negara itu ke Malaysia. Menerusi pertemuan tersebut, Bernama melaporkan Anwar menyatakan penghargaan beliau terhadap sokongan kuat Vietnam yang memacu dasar peralihan tenaga bagi sumber tenaga alternatif rantau ini.
“Semua program yang kita mulakan, sama ada dalam konteks mekanisme pelbagai hala ASEAN atau hubungan dua hala Malaysia dan Vietnam, anda (Vietnam) sentiasa memberikan sokongan yang amat baik.
“Kita bukan sahaja mengumumkan tetapi membuat pengumuman hebat mengenai projek gergasi atau kerjasama atau usaha diplomatik. Kali ini kita berjaya merealisasikannya melalui program dan projek yang berkesan, sejajar dengan dasar peralihan tenaga kita untuk tenaga alternatif di rantau ASEAN,” ujar Perdana Menteri.
Sumber: Stadium Astro, Bernama
BACA: Indonesia Sokong Keanggotaan Penuh Timor-Leste, Alu-alukan Hasrat Papua New Guinea Sertai ASEAN
The post “Jangan Terlalu Yakin,” Anwar Seloroh Dengan PM Vietnam Menjelang Kelayakan Piala Asia appeared first on Siakap Keli.


