“Jangan terlalu yakin, Pas boleh ubah pendirian bila-bila masa” – Ahmad Zahid

LocalPolitics
13 Jul 2026 • 5:24 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

“Jangan terlalu yakin, Pas boleh ubah pendirian bila-bila masa” – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu meletakkan keyakinan terhadap kenyataan yang dibuat Pas, sambil mendakwa parti itu mampu mengubah pendirian pada bila-bila masa mengikut keadaan politik.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, setakat ini tiada sebarang perjanjian rasmi antara Barisan Nasional (BN) dan Pas berhubung kerjasama politik atau rundingan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, sebarang perbincangan yang pernah berlaku hanyalah pada peringkat persefahaman dan bukan sesuatu yang menjadi keutamaan kepada BN.

“Apa yang dinyatakan itu tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan Pas. Cuma kalau ada perbincangan pun sekadar persefahaman dan kita tidak mengutamakan sebarang perbincangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sesi Luncheon Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pengalaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini membuktikan kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Pas tidak semestinya mencerminkan tindakan sebenar apabila tiba proses penamaan calon dan hari pengundian.

“Jadi jangan positif sangatlah dengan mereka ini. Cuma kita harus bersangka baik sahaja, tetapi jangan terlalu positif. Mereka boleh tukar tiang gol bila-bila masa sahaja. Jadi saya anggap bahawa itu kenyataan politik oleh mereka,” katanya.

Mengulas dakwaan wujud rundingan kerusi antara BN dan Pas, beliau sekali lagi menegaskan parti itu tidak boleh dijadikan sandaran kerana mempunyai rekod mengubah pendirian dalam pelbagai situasi politik sebelum ini.

“Itu sebab saya nyatakan, kata-kata mereka ini kita jangan pegang sangat sebab mereka boleh berubah. Banyak kali, banyak parti dah kena dengan mereka ini. Jadi saya harap mereka tidak berubahlah,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan memberi bayangan bahawa terdapat perbincangan berkaitan kerjasama politik dan rundingan kerusi melibatkan Pas dengan BN menjelang PRN Negeri Sembilan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved