Jangan terpedaya iklan tawar keistimewaan jadi ahli PBPM

21 Jul 2022 • 3:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Iklan yang kononnya menawarkan pelbagai keistimewaan lambang dan keahlian Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) dikesan tular di media sosial pada Rabu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tawaran istimewa itu diberikan kepada sesiapa yang mendaftar sebagai ahli.

"Antara keistimewaan yang didakwa diberikan adalah perkhidmatan pengiring polis dengan bayaran RM300 bagi 10 kilometer (km).

"Selain itu, pemilik kenderaan boleh memasang cermin gelap, malah tiada tindakan akan dikenakan sekiranya mereka memandu dalam keadaan mabuk apabila menggunakan simbol prestij itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kata beliau, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan iklan berkenaan.

"Tiada sebarang kelebihan seperti didakwa iklan terbabit. Justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dan merujuk terlebih dahulu menerusi saluran media rasmi polis bagi mengelak menjadi mangsa," katanya.