Jangan terpedaya! Video AI guna wajah Sultan Pahang tawar bantuan di TikTok palsu – Istana

LocalTechnology
6 Jul 2025 • 10:05 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Istana Pahang menafikan penyebaran beberapa video yang memaparkan wajah menyerupai Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang didakwa menawarkan bantuan kepada rakyat.

Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang, video tersebut dikenal pasti sebagai kandungan palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan disebarkan melalui beberapa akaun TikTok, antaranya ‘datuk_abdul_majid’, ‘datokfahrolaziz07’ dan ‘datuk_abdul_majid7’.

“Ia merupakan penyalahgunaan imej Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bagi tujuan penipuan dan memperdaya orang ramai.
“Istana Pahang ingin menegaskan bahawa video tersebut adalah tidak benar dan tidak sahih,” menurut kenyataan itu.

image is not available

Video AI guna wajah Sultan Pahang tawar bantuan di TikTok palsu

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam kandungan tersebut serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima sebarang kandungan mencurigakan.

Dalam kenyataan sama, Istana Pahang turut menegaskan bahawa Al-Sultan Abdullah tidak mempunyai sebarang akaun media sosial peribadi.

image is not available

Segala aktiviti dan titah baginda hanya disiarkan secara rasmi menerusi platform media sosial Kesultanan Pahang, khususnya di Facebook yang memiliki lebih 725,000 pengikut.

“Istana menyeru orang ramai agar melindungi diri daripada penipuan siber dan menghentikan penyebaran maklumat palsu,” tambah kenyataan itu.

image is not available

Platform lain seperti Instagram, TikTok, YouTube, Threads dan X juga menggunakan nama Kesultanan Pahang sebagai akaun rasmi.

Portal rasmi Istana Pahang boleh diakses menerusi laman sesawang www.istanapahang.my.