Jangan tersalah rawat, chicken skin bukan jerawat

Health & Fitness
25 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan tersalah rawat, chicken skin bukan jerawat

Bintik-bintik kecil dan kasar pada kulit, terutama di bahagian lengan, paha dan punggung, sering disangka sebagai jerawat, sedangkan ia mungkin merupakan chicken skin atau keratosis pilaris.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, keratosis pilaris berlaku apabila keratin daripada sel kulit mati menyumbat folikel rambut, menyebabkan kulit kelihatan kasar dan berbintik seperti kulit ayam.

Menurutnya, keadaan itu juga dikenali sebagai strawberry skin dan lazimnya tidak sakit atau berjangkit seperti jerawat.

Chicken skin biasanya muncul pada bahagian atas lengan, belakang, paha dan punggung kerana kawasan tersebut mempunyai lebih banyak folikel rambut halus yang mudah tersumbat, selain boleh berlaku pada betis atau dada.

Chicken skin terasa kasar seperti kertas pasir apabila disentuh tetapi tidak menyakitkan, berbeza dengan jerawat yang boleh menjadi merah, sakit dan bernanah.

“Penggunaan ubat jerawat juga biasanya tidak menghilangkan chicken skin kerana masalah itu berpunca daripada keratin yang menyumbat folikel rambut, bukannya jerawat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kulit kering lebih ketara

Dr. Hamidah berkata, kulit kering boleh menyebabkan chicken skin semakin ketara apabila kekurangan kelembapan menjadikan lebih tebal dan sukar menyingkirkan sel kulit mati.

Keadaan itu menyebabkan sel kulit mati lebih mudah terkumpul dan menyumbat folikel rambut, terutama dalam kalangan individu yang mempunyai kulit kering atau ekzema.

Ia juga boleh menjadi lebih jelas ketika cuaca kering atau selepas mandi menggunakan air panas.

Antara kesilapan yang sering dilakukan ialah menggaru atau memicit kerana menyangkanya sebagai jerawat, selain melakukan skrub secara agresif untuk menghilangkannya.

Ada juga yang cuba menghilangkannya dengan mandi air panas yang boleh menyebabkan kulit semakin kering dan teriritasi.

“Bila skrub terlalu kuat, ia akan mengeringkan kulit lagi. Ada juga yang tidak menggunakan pelembap kerana menyangka pelembap akan menyumbat kulit, sedangkan kulit yang semakin kering boleh menyebabkan chicken skin lebih ketara,” jelasnya.

Jangan terlalu eksfoliasi

Antara bahan aktif yang boleh membantu merawat chicken skin ialah asid alfa hidroksi (AHA) seperti glycolic acid dan lactic acid, selain salicylic acid yang membantu membersihkan folikel tersumbat.

Krim mengandungi urea pula membantu melembutkan kulit yang kasar, manakala retinol menyokong proses pembaharuan sel kulit.

Penggunaan bahan aktif ini juga perlu disertai pelembap bagi mengekalkan kelembapan dan menjaga lapisan pelindung kulit.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya eksfoliasi tidak dilakukan secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan kulit menjadi merah, teriritasi dan rosak.

“Kekerapan eksfoliasi yang sesuai untuk kulit chicken skin ialah satu hingga dua kali seminggu. Paling kerap pun dua kali seminggu,” katanya.

Rawatan bergantung kepada keadaan kulit

Chicken skin merupakan keadaan kronik, namun ia boleh bertambah baik sekiranya rawatan dimulakan lebih awal dan dilakukan secara konsisten.

Menurutnya, kes yang sudah lama berlaku mungkin hanya dapat dikawal, manakala rawatan yang konsisten berpotensi memberikan hasil lebih baik.

“Kalau konsisten, boleh hilang. Tetapi kalau sudah terlalu lama dan tidak konsisten, ia hanya boleh dikawal,” katanya.

Individu disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya bintik semakin besar, merah, berpanjangan atau mula gatal kerana chicken skin lazimnya tidak menyebabkan kegatalan yang ketara.

Bagi kes yang lebih teruk, rawatan profesional seperti chemical peel, laser dan microdermabrasion boleh dilakukan di klinik.

Chemical peel menggunakan kepekatan bahan aktif yang lebih tinggi, manakala laser membantu memperbaiki tekstur kulit.

Microdermabrasion pula membantu menanggalkan keratin yang telah dilembutkan, selain doktor boleh memberikan krim dengan kepekatan bahan aktif lebih tinggi seperti urea mengikut keadaan kulit pesakit.

Pelembap antara rutin paling mudah

Dalam penjagaan harian, individu yang mengalami chicken skin disarankan mengelakkan mandi air panas serta menggunakan sabun yang lembut tanpa menggosok kulit secara agresif.

Pelembap pula sebaiknya disapu selepas mandi untuk membantu mengekalkan kelembapan kulit.

Produk yang mengandungi salicylic acid atau urea pada kepekatan rendah juga boleh digunakan secara konsisten untuk membantu memperbaiki tekstur kulit.

Pada masa sama, perlindungan daripada cahaya matahari turut penting sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan kulit.

Beliau turut mengingatkan supaya tidak menganggap semua bintik kecil pada kulit sebagai chicken skin kerana terdapat keadaan lain yang kelihatan hampir serupa.

Justeru, jika bintik pada kulit tidak menunjukkan perubahan walaupun selepas penjagaan atau rawatan yang sesuai, pemeriksaan doktor penting bagi memastikan keadaan sebenar dan mengelakkan penggunaan produk yang tidak tepat.

The post Jangan tersalah rawat, chicken skin bukan jerawat appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved