Jangan Terus Lupus, NGO Cadang Anjing Liar Diserah Kepada Pencinta Haiwan

21 May 2025 • 5:14 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Isu anjing liar terus jadi perhatian apabila 18 NGO dari Nilai menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, mencadangkan agar anjing liar yang ditangkap tidak terus dilupuskan, sebaliknya diserahkan terlebih dahulu kepada NGO Pencinta Haiwan.

image is not available

Beri beberapa cadangan untuk tangani masalah anjing liar

Memetik laporan dari Sinar Harian, memorandum itu diketuai Ketua Pemuda Parti KIMMA Negeri Sembilan, Syed Alwi Syed Jaafar, bersama KRT, persatuan penduduk, PIBG, surau dan masjid sekitar Nilai.

“Jadi dalam memorandum itu, kita telah memberi beberapa cadangan kepada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah anjing liar ini.

“Antaranya ialah kerajaan negeri dicadang bekerjasama dengan NGO Pencinta Haiwan melalui pihak berkuasa tempatan yang ditugaskan menangkap haiwan itu.

“Jadi setiap tangkapan yang dilakukan perlu maklumkan kepada NGO Pencinta Haiwan dan beri masa tiga hari kepada mereka untuk ambil anjing-anjing itu,” katanya.

image is not available

Jadual tangkapan anjing liar diperinci

Tambah Syed Alwi lagi, jika NGO tidak mengambil haiwan tersebut dalam tempoh tiga hari, barulah tindakan selanjutnya boleh dilakukan.

Dalam masa sama, mereka turut mencadangkan agar jadual operasi tangkapan dibuat lebih terperinci, memandangkan terdapat aduan kontraktor hanya bertindak separuh jalan.

“Contohnya, penduduk buat aduan lima ekor anjing, tapi kontraktor hanya menangkap seekor saja dan kemudiannya aduan itu ditutup.

Kita harap selepas ini tindakan penyelesaian di sesuatu tempat itu dibuat secara menyeluruh mengikut aduan diterima,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan isu anjing liar ini perlu ditangani serius kerana telah melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

“Serangan anjing itu boleh berlaku kepada semua, bukan orang Islam saja. Jadi sebab itu pentingnya ada tindakan diambil,”katanya lagi.

image is not available

sekadar gambar hiasan

Memorandum itu diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar dan diterima oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Nor Azman Mohamad.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta haiwan disaran adopsi anjing liar sebagai salah satu usaha membantu mengurangkan pembiakan haiwan berkenaan.

Perkara tersebut merupakan antara solusi yang boleh diambil daripada terus membantah tanpa mengambil sebarang bahagian dalam menangani masalah tersebut di negeri terbabit.

Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)