
PETALING JAYA – Orang ramai diingatkan supaya tidak membantu haiwan liar dengan meninggalkan buah-buahan di tepi Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli.
Ini kerana kata seorang ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Ahmad Nazrul, perbuatan itu boleh mengundang bahaya kepada haiwan berkenaan dan pengguna jalan raya.
Malah kata beliau, perbuatan itu juga boleh mengubah tingkah laku semula jadi haiwan liar apabila mereka mula mengaitkan kehadiran manusia dengan sumber makanan.
“Kasihan yang salah tempat boleh mendatangkan bahaya,”tulisnya di laman Facebook.
Beliau berkata, haiwan liar yang sudah terbiasa menerima makanan daripada manusia berisiko menjadi lebih berani menghampiri kawasan jalan raya dan kenderaan.
“Gajah boleh muncul secara tiba-tiba di atas jalan. Pemandu mungkin membrek secara mengejut dan risiko kemalangan meningkat.
“Pengguna jalan raya pula mungkin berhenti untuk melihat atau memberi makanan, sekali gus mendedahkan diri dan haiwan kepada risiko yang lebih besar,” katanya.
Ahmad Nazrul yang juga aktif dengan pasukan pengurusan jenazah percuma berkata, perbuatan itu juga boleh menyebabkan haiwan liar semakin bergantung kepada manusia dan hilang rasa takut terhadap manusia.
Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum ini turut memberi amaran bahawa pemberian makanan boleh menyebabkan gajah lebih kerap berada di tepi jalan kerana menjangkakan makanan daripada manusia.
“Biarkan haiwan liar hidup secara liar. Haiwan liar bukan haiwan peliharaan.
“Mereka mempunyai naluri semula jadi untuk mencari makanan, mencari sumber air dan bergerak dalam habitat mereka,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Jangan tinggal makanan untuk haiwan liar di tepi Jalan Gerik-Jeli – NGO appeared first on Kosmo Online.
