'Jangan tunggu laporan polis, terus tahan penghina Sultan' – Syed Ali

LocalPolitics
22 May 2026 • 10:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan tunggu laporan polis, terus tahan penghina Sultan' – Syed Ali
Syed Ali

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa disaran mengambil tindakan segera terhadap mana-mana individu yang didakwa menghina, mempertikai atau mempersendakan institusi Sultan dan Raja-Raja Melayu tanpa perlu menunggu laporan polis dibuat terlebih dahulu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan pantas perlu dilaksanakan khususnya melibatkan kandungan melampau yang tular di platform media sosial seperti TikTok.

Menurut beliau, kelewatan mengambil tindakan dikhuatiri akan menyebabkan perbuatan menghina institusi kesultanan Melayu dianggap sebagai perkara biasa dalam kalangan masyarakat.

“Jika pihak berkuasa lambat bertindak dan sekadar melihat serta menunggu laporan polis dibuat, saya khuatir perbuatan jahat dan pencercaan terhadap institusi kesultanan Melayu akhirnya dianggap satu kebiasaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian susulan kebimbangan terhadap peningkatan kandungan media sosial yang didakwa bersifat biadab dan melampaui batas terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

Menurut Syed Ali, generasi muda khususnya yang membesar dalam era teknologi maklumat berisiko kehilangan rasa hormat dan kesetiaan kepada institusi diraja sekiranya perkara tersebut tidak dibendung lebih awal.

Katanya, kedudukan Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan selaras dengan semangat Rukun Negara yang meletakkan prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara sebagai salah satu tonggak utama perpaduan nasional.

“Justeru, saya amat berharap tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu terbabit perlu disegerakan tanpa mengira anutan politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara adil dan tidak dilihat bersifat terpilih.

“Saya juga bimbang jika pihak berkuasa lambat bertindak dan hanya menunggu laporan dibuat, akan timbul dakwaan kononnya pihak berkuasa di negara ini membudayakan undang-undang terpilih serta tindakan lebih menjurus kepada kepentingan politik,” ujarnya.

Sebelum ini, beberapa kes melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja dan pemimpin negara di media sosial pernah mencetuskan perhatian ramai sehingga membawa kepada siasatan pihak berkuasa di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

View Original Article