
Sudah tiba masanya Malaysia mengaktifkan peranan ahli psikologi secara lebih sistematik dalam sektor pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur psikologi negara.
Maka dengan itu Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) menyokong pandangan Tan Sri Lee Lam Thye mengenai keperluan memperluaskan akses kepada ahli psikologi berkelayakan di sekolah bagi melengkapi peranan penting kaunselor sedia ada.
Ini bukan soal menggantikan kaunselor dengan ahli psikologi. Kita memerlukan kedua-duanya. Cabaran psikologi yang dihadapi pelajar hari ini semakin kompleks dan memerlukan pendekatan multidisiplin. Kaunselor memainkan peranan penting dalam bimbingan, sokongan emosi, pengesanan awal dan rujukan. Ahli psikologi pula boleh melengkapkan perkhidmatan tersebut melalui penilaian psikologi, formulasi kes dan intervensi berasaskan bukti, khususnya bagi kes yang lebih kompleks.
Malaysia telah banyak melabur dalam infrastruktur fizikal dan digital pendidikan.
Kini kita perlu memberikan perhatian yang sama serius kepada infrastruktur psikologi yang membangunkan manusia dalam sistem tersebut.
PSIMA mencadangkan supaya pengaktifan ahli psikologi dilaksanakan secara berfasa, sama ada melalui penempatan di sekolah atau perkhidmatan psikologi berkelompok di peringkat daerah, dengan keutamaan kepada kawasan yang mempunyai populasi pelajar dan keperluan tinggi.
Pada masa sama, laluan rujukan yang jelas perlu menghubungkan sekolah, kaunselor, ahli psikologi, ibu bapa, klinik kesihatan, hospital serta perkhidmatan psikiatri kanak-kanak dan remaja.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga seorang pelajar berada dalam krisis sebelum sistem bertindak. Sistem pendidikan perlu bergerak daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan yang mengutamakan pencegahan, pengesanan awal, intervensi profesional dan tindakan susulan.
PSIMA turut menyokong cadangan pembangunan Kerangka Psikologi dan Kesihatan Mental Sekolah Kebangsaan yang menetapkan standard jelas berkaitan tenaga kerja, saringan, rujukan, intervensi, kerahsiaan, pengurusan krisis dan kerjasama antara sektor pendidikan dengan kesihatan.
Manusia membentuk institusi. Institusi membentuk negara, justeru, mengaktifkan ahli psikologi dalam sistem pendidikan bukan sekadar agenda kesihatan mental. Ia adalah pelaburan dalam keselamatan dan kesejahteraan pelajar, pembangunan modal insan serta masa depan Malaysia. _UTUSAN
PROF. MADYA DR. SHAZLI EZZAT GHAZALI
Presiden, Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) dan Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, UKM
The post Jangan tunggu pelajar berada dalam krisis baru bertindak – PSIMA appeared first on Utusan Malaysia.

