
PILIHAN raya bukan sekadar proses memangkah nama calon pada kertas undi. Ia merupakan detik penting yang menentukan hala tuju sesebuah negeri dan negara untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
Setiap undi membawa makna yang besar kerana menentukan corak pentadbiran, keutamaan dasar, pembangunan ekonomi, mutu pendidikan, kesejahteraan rakyat dan masa depan generasi seterusnya.
Oleh itu, keputusan yang dibuat pada hari mengundi sewajarnya dipandu oleh pertimbangan yang rasional, bukannya dipengaruhi emosi yang bersifat sementara.
Namun, suasana pilihan raya sering menyaksikan kemarahan menjadi faktor yang menguasai sebahagian pengundi. Ada yang mahu meluahkan rasa kecewa, ada yang terdorong menghukum pihak tertentu, manakala sebahagian lagi menganggap pilihan raya sebagai medan membalas dendam.
Sejarah menunjukkan banyak keputusan besar yang dibuat ketika emosi mengatasi kewarasan akhirnya membawa penyesalan.
Dalam politik, satu undi bukan sekadar memilih individu, sebaliknya menentukan dasar yang akan mempengaruhi kehidupan seluruh masyarakat. Sebab itu, pengundi perlu menilai calon berdasarkan rekod perkhidmatan, keupayaan mentadbir, integriti serta kesungguhan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya dipengaruhi sentimen yang sengaja dibangkitkan sepanjang kempen.
Islam sendiri meletakkan keadilan sebagai asas dalam membuat pertimbangan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma’idah, ayat 8 yang bermaksud: “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.”
Pengundi perlu menilai seseorang secara objektif, bukan menghukum hanya kerana persepsi atau sentimen yang dimainkan sepanjang tempoh berkempen.
Malangnya, musim pilihan raya sering menjadi ruang menyemarakkan emosi. Ceramah politik, video tular, siaran langsung dan media sosial kadangkala lebih banyak membangkitkan kemarahan daripada menawarkan penyelesaian.
Isu sensitif diperbesar, ketakutan disemai, manakala persepsi negatif dibentuk supaya rakyat membuat keputusan secara spontan tanpa sempat menilai fakta secara menyeluruh.
Fenomena ini dikenali sebagai politik emosi, iaitu pendekatan politik yang menggerakkan emosi mengatasi pemikiran. Dalam keadaan sedemikian, persoalan mengenai siapa yang paling layak memimpin semakin tenggelam.
Sebaliknya, perhatian beralih kepada siapa yang paling dibenci. Demokrasi akhirnya berubah daripada proses memilih masa depan kepada saluran melepaskan rasa tidak puas hati.
Pilihan raya bukan urusan kecil kerana hasilnya menentukan kehidupan berjuta-juta rakyat serta kestabilan pentadbiran negara.
Demokrasi yang matang juga menuntut rakyat memahami tiada pemimpin yang sempurna. Tanggungjawab pengundi bukan mencari individu tanpa kelemahan, sebaliknya memilih calon yang paling berwibawa, berintegriti dan berkeupayaan membawa manfaat kepada masyarakat.
Jika kesempurnaan dijadikan syarat, nescaya tiada siapa yang layak memimpin.
Tokoh falsafah Yunani, Aristotle, pernah menyatakan “Undang-undang ialah akal budi yang bebas daripada emosi.” Kata-kata ini mengingatkan keputusan yang baik lahir daripada pertimbangan akal, bukannya ledakan emosi.
Justeru, pengundi perlu menilai dasar yang ditawarkan, prestasi yang telah dibuktikan serta kemampuan calon menghadapi cabaran masa depan, bukan sekadar mempercayai propaganda atau persepsi yang tersebar.
Dalam era digital, kemarahan turut menjadi komoditi yang mudah diperdagangkan. Kandungan yang membangkitkan emosi lebih pantas tular berbanding penjelasan yang berasaskan fakta.
Tajuk sensasi, potongan video di luar konteks dan dakwaan yang belum disahkan akhirnya mewujudkan gelembung maklumat yang mengaburkan penilaian masyarakat.
Dalam keadaan ini, pengundi perlu lebih berhati-hati, menyemak kesahihan maklumat dan tidak mudah dipengaruhi naratif yang sengaja dibina untuk mengapi-apikan emosi.-UTUSAN
ATRIZA UMAR
Calon Ijazah Kedoktoran (Kepimpinan Wanita) Open University Malaysia (OUM)
The post Jangan undi kerana marah tetapi demi masa depan appeared first on Utusan Malaysia.

