Jangan undi parti yang salah: Christina Liew

Politics
24 Oct 2022 • 3:43 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Satu undi untuk parti yang salah akan mengakibatkan kesusahan berterusan yang menjejaskan kehidupan rakyat, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew.

Berucap pada majlis Jelajah Sabah Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim Zon Tawau di Dewan Mahkota Calvary pada Ahad, beliau berkata: “Jangan salah pilih dalam pilihan raya akan datang. Ada pihak yang mahu menyelamatkan pemimpin tertentu daripada pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Apa yang kita nak capai dalam PRU15? Kita nak tukar Perdana Menteri dan Kerajaan.

“Kali ini adalah satu-satunya harapan kita untuk perubahan. Rakyat Tawau mahukan pertukaran kerajaan. Ke mana sahaja saya pergi, mereka memberitahu saya bahawa mereka mahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia seterusnya.”

Liew yang juga penyandang Ahli Parlimen Tawau menggesa rakyat membuat pilihan tepat untuk menyelamatkan negeri dan negara daripada terus mengalami kemerosotan.

Mengenai pelbagai isu yang melanda negara, beliau berkata ini termasuk kos sara hidup yang semakin tinggi, banjir, kenaikan kos bahan api dan jalan raya yang berada dalam keadaan menyedihkan.

“Kekuatan kita adalah daripada rakyat. Saya yakin jika kita terus teguh dalam perjuangan untuk rakyat, kita boleh mengharungi apa jua cabaran yang mendatang kerana rakyat akan terus bersama kita,” tambahnya.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau itu.

Turut hadir bekas MP Tawau dan Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Datuk Sangkar Rasam dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Tawau - Philip Yap (DAP), Abas Kaing (Amanah) dan Sylvester Taing (Upko).

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.