Jangkitan COVID-19 Kekal Bawah 2,000, 5 Kematian

13 Sep 2022 • 10:28 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR - Kes baharu COVID-19 di negara ini kekal bawah 2,000 dengan 1,847 kes direkodkan semalam berbanding 1,483 kes kelmarin.

Berdasarkan data laman sesawang COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 4,806,954 kes setakat ini.

Jumlah direkodkan itu membabitkan 1,840 kes tempatan dan tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sebanyak lima lagi korban COVID-19 direkodkan semalam dengan satu kes berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kematian tertinggi dilaporkan di Perak dengan tiga kes manakala masing-masing satu kes di Johor serta Kedah.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 36,285 kes setakat ini dengan 7,711 daripadanya adalah kes BID.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 26,033 kes aktif COVID-19 dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah kes aktif itu, 95.1 peratus atau 24,752 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, 10 kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), sementara 1,204 orang atau 4.6 peratus menerima rawatan di hospital.

Sebanyak 67 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 45 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdapat 2,148 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,744,636 kes. - Getaran, 13 September 2022