
TAWAU: Baik kerajaan mahu pun pembangkang mempersoalkan keikhlasan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung janji untuk memulangkan 40 peratus hasil yang dikutip dari Sabah.
Adun Sri Tanjong daripada Warisan, Justin Wong, menyifatkannya sebagai satu lagi janji pilihan raya menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah dan Sarawak diiktiraf sebagai rakan setara dengan Persekutuan Tanah Melayu, dan syarat yang dipersetujui mesti dilaksanakan.
“Bagaimanapun, ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 2020, tiada apa-apa yang dilaksanakan meskipun perkara itu penting. Malah ketika Datuk Seri Hajiji Noor menjadi Ketua Menteri, peruntukan MA63 ini juga tidak direalisasikan,” katanya.
Justin berkata hak Sabah tidak dipulangkan walaupun kerajaan negeri dan Persekutuan ketika itu sehaluan.
“Kini, menjelang PRN17, janji sama diulang lagi. Adakah pengundi Sabah masih akan mempercayainya?” soalnya.
Beliau turut menegaskan Sabah kekal sebagai model keharmonian dengan masyarakat berbilang etnik dan agama, berbeza dengan “politik ekstrem” yang muncul di Semenanjung.
“Walau seindah mana pun janji yang ditawarkan, rakyat Sabah tidak akan menyambut baik parti-parti ekstrem untuk memimpin negeri ini,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa parti dari Semenanjung dijangka akan bekerjasama dengan parti tempatan dalam PRN17, namun ini boleh membawa kepada ketidakstabilan.
“Walaupun mereka membawa imej kepelbagaian, hakikatnya pendirian mereka tidak sehaluan dan masing-masing mempunyai agenda sendiri. Jika mereka menang, pasti akan berlaku perebutan kuasa dan percaturan politik. Akhirnya, rakyat yang terkesan, projek infrastruktur tertangguh, pertumbuhan ekonomi melemah dan penderitaan berpanjangan,” katanya.
Menurutnya, Parti Warisan kini meletakkan diri sebagai satu-satunya parti yang tidak berpaut kepada mana-mana gabungan nasional.
“Warisan di bawah Datuk Seri Shafie Apdal mempunyai kepimpinan yang terbuka dan berwawasan. Trend memilih ‘orang Sabah untuk memimpin Sabah’ sudah menjadi arus utama menjelang pilihan raya dengan mencontohi Sarawak yang dipimpin sepenuhnya oleh parti tempatan,” katanya.
Sementara itu, Parti Liberal Demokratik (LDP) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri GRS-Plus turut menolak janji tersebut sebagai muslihat pilihan raya yang tidak ikhlas.
Ketua Penerangan LDP, Nicholas Ban, berkata rakyat Sabah sudah kerap dikelirukan dengan janji sama, sedangkan Muhyiddin tidak mengambil tindakan terhadap hak perlembagaan itu sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
“Rakyat Sabah sudah masak dengan janji kosong yang diulang setiap kali pilihan raya. Kita tidak perlukan ahli politik yang memperlakukan komitmen seperti slogan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata Sabah tidak pernah dilayan dengan adil ketika PN berkuasa, apatah lagi menerima 40 peratus hasil berkenaan.
“Mengapa tunggu musim pilihan raya baru hendak bersandiwara? Ini satu penghinaan terhadap kewarasan rakyat Sabah,” katanya.
Isu formula perkongsian hasil itu sememangnya berlarutan lama. Berdasarkan Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak mendapat 40 peratus hasil bersih kutipan, namun mekanismenya digantung sejak 1974 dan kerajaan Persekutuan sebaliknya menyalurkan geran khas tambahan.
Nicholas berkata mengulang semula kewajipan perlembagaan sebagai janji kempen hanya mendedahkan lagi sikap PN yang tidak menghormati hak Sabah.
“Apa yang Sabah perlukan ialah jaminan yang mengikat dari segi undang-undang, bukan gula-gula pilihan raya,” katanya sambil menggesa rakyat Sabah menolak percubaan mempolitikkan isu ini dan menuntut kerajaan Persekutuan segera menunaikan kewajipan perlembagaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini berkata pada Julai lalu bahawa kerajaan Persekutuan akan meneliti cadangan Sabah itu dalam mesyuarat MA63 pada 12 September.
