Jarak Terlalu Dekat, Pemandu Lori Ayam Tak Sempat Brek Ketika Anak Gajah Melintas

LocalEnvironment
11 May 2025 • 5:22 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seekor gajah betina dipercayai ‘mengamuk’ selepas anaknya mati dirempuh sebuah lori muatan ayam di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, pemandu lori berusia 28 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kenderaan yang dipandunya mengalami kerosakan di bahagian hadapan selepas diserang gajah dewasa yang dipercayai ibu kepada anak gajah yang terbunuh.

image is not available

Pemandu Lori Ayam Tak Sempat Brek

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, lori tersebut dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli, Kelantan ketika insiden berlaku.

“Pemandu memaklumkan dia melihat seekor gajah dewasa berada di bahu jalan arah Jeli ke Gerik sedang makan rumput. Setelah merasakan keadaan selamat, dia meneruskan perjalanan.
“Tiba-tiba seekor anak gajah meluru keluar dari hutan di sebelah kiri jalan dan cuba melintas.
“Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu tidak sempat membrek lalu melanggar anak gajah itu hingga mati di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

image is not available

Menurut beliau, sejurus selepas pelanggaran, gajah dewasa tersebut menyerang lori terbabit dipercayai akibat terlalu marah dan terkejut dengan kematian anaknya.

“Pihak polis telah mendapatkan bantuan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengawal gajah dewasa itu menggunakan pelali sebelum keadaan kembali stabil,” ujarnya.

image is not available

Kejadian tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang meluahkan rasa simpati terhadap naluri keibuan haiwan liar itu. Ada yang menyifatkan insiden itu sebagai detik pilu dan menyentuh hati, serta menyeru agar pemandu lebih berhati-hati memandangkan kawasan JRTB sememangnya menjadi laluan hidupan liar.

Sumber: Kosmo! Online (Asliza Musa)