
BUTTERWORTH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang hari ini mengarahkan sebuah kontena membawa sisa elektrik dan elektronik dari Amerika Syarikat yang tiba di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini, dihantar pulang ke negara asal.
Pengarahnya Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya bersama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) menjalankan pemeriksaan ke atas kontena itu kerana disyaki membuat pengisytiharan tidak benar iaitu muatan diikrar sebagai ‘aluminium aloy’.
“Selepas pemeriksaan mendapati terdapat 38 kayu palet di dalam kontena 12.2 meter (40 kaki) yang dimuatkan dengan buangan sekerap daripada papan litar tercetak (PCB), pemacu cakera dalaman, CPU (unit pemprosesan pusat) dan lain-lain komponen elektronik yang dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sehubungan itu, satu Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan kepada pengimport yang beralamat di Klang, Selangor untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mahkamah menurut Seksyen 34B akta sama.
Sharifah Zakiah berkata pihaknya turut membuat persampelan bahan bukti.
“Pengimportan haram buangan elektrik dan elektronik atau e-waste dari luar negara adalah menyalahi undang-undang dan konvensyen antarabangsa (Konvensyen Basel).
“Pelupusan dan pemprosesan secara haram boleh memberikan implikasi negatif kepada alam sekitar serta kesihatan terutama apabila majoritinya mungkin dihantar ke premis-premis tidak berlesen untuk dibuat pemprosesan secara haram atau lebih buruk jika dilupus secara dibakar atau ditanam,” katanya dan menambah sisa elektrik dan elektronik yang dihasilkan di Malaysia diproses di premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja. - Bernama
