
PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) disyorkan mempertingkatkan pemeriksaan pada waktu malam bagi memastikan aktiviti premis-premis e-waste dapat dipantau dengan lebih berkesan.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata, langkah ini bagi mengesan aktiviti dan kesalahan yang mungkin berlaku di luar waktu pemeriksaan biasa.
Menurutnya, syor itu dikemukakan berdasarkan hasil siasatan pihaknya berhubung tindakan penguatkuasaan JAS terhadap premis-premis kitar semula e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat, Johor.
Katanya, ia bagi menyiasat dakwaan wujudnya isu-isu baharu yang memerlukan siasatan lanjut EAIC berkaitan kegagalan tindakan penguatkuasaan oleh JAS terhadap premis-premis tersebut.
Katanya, ia antaranya melibatkan isu lesen separa dan operasi penguatkuasaan di waktu malam serta kesalahan berulang.
“Susulan daripada siasatan yang telah dijalankan, EAIC turut mengambil maklum bahawa JAS telah mengambil langkah sewajarnya dalam mempercepatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan.
“Antaranya meneliti semula dan membuat pindaan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) Penguatkuasaan JAS yang telah diwujudkan untuk rujukan pegawai JAS.
“JAS turut mengambil tindakan segera memuktamadkan garis panduan pelaksanaan kompaun termasuk membuat pindaan kerangka penalti/kompaun melalui pengemaskinian prosedur kompaun selaras dengan pindaan Akta 127 yang berkuat kuasa pada 26 Mac 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, EAIC berkata, JAS telah meningkatkan sistem pengurusan aduan dengan menambah baik system myJAS Aduan yang boleh diakses dan dimuat turun oleh orang awam bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan.
Ini termasuk melaksanakan latihan berkala secara berterusan melibatkan pegawai JAS pada tahun 2025 dan 2026. – KOSMO! ONLINE
The post JAS disyor tingkat pemeriksaan waktu malam pantau premis e-waste appeared first on Kosmo Online.


