JAS Kedah arah kilang sarung tangan di Kulim tutup serta-merta kerana lepaskan sisa buih ke saliran awam

LocalEnvironment
29 Jul 2025 • 12:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JAS Kedah arah kilang sarung tangan di Kulim tutup serta-merta kerana lepaskan sisa buih ke saliran awam

image is not available

29/07/2025 - 12:28

Kilang sarung tangan di Kulim diarah tutup kerana pencemaran air / Gambar JAS Kedah Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Julai – Sebuah kilang pengeluar sarung tangan di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah diarah tutup serta-merta selepas disyaki melepaskan air buangan berbuih ke dalam sistem saliran awam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan pengurusan kilang tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap kesan pencemaran alam sekitar dan kesihatan awam.

“Penutupan sementara itu dikuatkuasakan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, susulan aduan awam yang diterima berhubung insiden berkenaan pada Ahad lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati air buangan dari kilang tersebut mengandungi buih yang dilepaskan terus ke dalam sistem perparitan awam.

“Tindakan ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah berpotensi menjejaskan ekosistem air serta kesihatan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

JAS Kedah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 25 akta sama.

Beliau turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencemaran alam sekitar dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang cuai atau gagal mematuhi peraturan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menghubungi talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau emel ke eaduan@doe.gov.my.

Taman Teknologi Tinggi Kulim adalah antara hab perindustrian utama di utara Semenanjung Malaysia dan menempatkan pelbagai syarikat pengeluar dalam sektor sarung tangan, komponen semikonduktor dan teknologi canggih. - DagangNews.com

standard