JAS pantau kebakaran 32 hektar tanah gambut di Dungun

LocalEnvironment
27 Apr 2026 • 4:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JAS pantau kebakaran 32 hektar tanah gambut di Dungun
JAS bersama agensi keselamatan memantau kebakaran melibatkan 32 hektar tanah gambut di Kampung Baru, Kuala Abang, Dungun sejak 22 April lalu.
Image from: JAS pantau kebakaran 32 hektar tanah gambut di Dungun
JAS memasang alat pemantauan kualiti udara mudah alih bagi memantau situasi semasa.

​DUNGUN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggerakkan pemantauan udara menggunakan dron dan pemantauan darat secara berterusan susulan insiden kebakaran hutan tanah gambut seluas 32 hektar di Kampung Baru, Kuala Abang di sini sejak 22 April lalu.

​JAS dalam satu kenyataan berkata, kebakaran di kawasan tanah rizab kerajaan itu telah menghasilkan asap tebal yang berpotensi menjejaskan kualiti udara penduduk setempat serta institusi pendidikan berhampiran.

​Menurut kenyataan itu, pihak JAS telah memasang alat pemantauan kualiti udara mudah alih (GRIMM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kuala Abang dan satu lagi alat tambahan di kawasan terjejas bagi memantau situasi semasa.

​"Setakat jam 8 pagi Isnin, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatatkan adalah 88 iaitu berada pada paras sederhana.

​"Situasi kualiti udara masih terkawal dan buat masa ini tiada keperluan atau nasihat untuk penutupan sekolah dikeluarkan, namun JAS akan terus memantau rapi bagi memastikan langkah kawalan pencemaran dilaksanakan," katanya pada Isnin.

**media[3503837]**

​Dalam pada itu, JAS menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud unsur kecuaian atau pembakaran terbuka.

​"Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 sehingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

​"Sehingga 26 April, sebanyak 11 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kesalahan pembakaran terbuka yang merangkumi kes kompaun serta pertuduhan," jelas kenyataan itu.

​Susulan cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini, masyarakat dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

​Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat aktiviti pembakaran terbuka diminta segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atau talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727.