JAS sita premis proses sisa elektronik secara haram

1 Feb 2024 • 3:27 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SUNGAI PETANI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menyita sebuah premis yang menjalankan aktiviti penstoran dan pemerolehan buangan elektronik tanpa lesen dalam satu serbuan di kawasan perusahaan di Bukit Selambau dekat sini, semalam.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti peleburan sekerap logam.

“Premis ini pernah memohon dan mendapat Kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada 28 Mac tahun lepas bagi menjalankan proses pulih guna buangan terjadual bagi kod SW104 (sisa logam, debu dan terak dengan kandungan tembaga) dan kod SW422 (kabel elektronik dengan wayar tembaga).

“Bagaimanapun, premis itu gagal memohon lesen di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan mendapatkan lain-lain kelulusan serta kebenaran bagi alat-alat kawalan pencemaran,“ katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, JAS turut menyita 214 palet buangan terjadual dipercayai buangan elektronik dengan berat anggaran 170 tan metrik.

“Siasatan turut mendapati premis ini dipercayai cuba menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan elektronik dengan mencampurkan buangan terjadual dengan sekerap logam dalam aktiviti peleburan.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan bahawa sisa elektrik dan elektronik tersebut diimport secara haram melalui pintu-pintu masuk ke negara ini. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang diadakan bagi mengesahkan perkara ini,“ katanya.

Sharifah Zakiah berkata sisa buangan elektronik merupakan buangan terjadual dengan kod buangan SW 110 berdasarkan Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Sebarang aktiviti penstoran luar tapak atau pemerolehan kembali buangan terjadual memerlukan kelulusan laporan EIA dan kelulusan Lesen di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Pemerolehan buangan terjadual secara haram tanpa alat-alat kawalan pencemaran boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara di kawasan sekitar,“ katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 34B (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. -Bernama