
MELAKA: Penjajahan zaman moden tidak lagi berlaku menggunakan senjata, sebaliknya melalui ‘kawan’ yang mendekati secara senyap sebelum mengambil kesempatan dan menikam dari belakang demi kepentingan politik.
Wakil AMK Wilayah Persekutuan, Muhammad Huraimi Hilman Mohamad Husri berkata, pengalaman politik membuktikan bahawa hubungan persahabatan tidak semestinya menjamin kesetiaan apabila kuasa menjadi pertaruhan.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini tampil membantu UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum lalu, namun jasa itu tidak semestinya dibalas dengan penghargaan yang sama.
“Pemimpin pertama kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ialah seorang yang sangat baik. Dialah yang nak selamatkan UMNO daripada terus mati PRU yang lepas.
“Tetapi apa jasanya dibalas? Adakah beliau dihargai? Adakah beliau dikenang sebagai seorang sahabat? Tidak. Beliau dikhianati,” katanya ketika sesi perbahasan Kongres Nasional AMK di sini.
Muhammad Huraimi berkata, situasi politik hari ini boleh diibaratkan sebagai bentuk ‘penjajahan moden’ apabila pihak tertentu mendekati sebagai rakan sebelum mengambil kesempatan apabila kepentingan politik berubah.
“Kalau dulu, ketika zaman penjajahan Jepun, mereka datang mengaku sebagai tukang gunting rambut. Masuk perlahan-lahan, membina kepercayaan sebelum akhirnya menjajah Tanah Melayu.
“Hari ini, penjajahan itu tidak lagi datang dengan tentera. Tidak datang dengan senjata. Tetapi datang mengaku sebagai kawan.
“Senyap-senyap mendekati kita. Senyap-senyap mengambil kesempatan. Dan apabila kepentingan kuasa berubah, kawan yang pernah bersama akhirnya ditikam dari belakang.
“Inilah penjajahan zaman moden. Penjajahan bukan lagi dengan senapang, tetapi dengan kuasa, pengkhianatan dan kepentingan politik,” katanya.
Beliau berkata, parti tidak seharusnya membina kerjasama politik semata-mata berdasarkan tempoh persahabatan, sebaliknya perlu menilai kesetiaan terhadap rakyat dan prinsip perjuangan.
“Sebab itu kawan-kawan, kita jangan bina politik atas dasar siapa yang paling lama berkawan dengan kita. Kita bina politik atas dasar siapa yang paling setia kepada rakyat dan perjuangan.
“Kerana kawan boleh berubah apabila kuasa menjadi taruhan. Tetapi prinsip tidak boleh dijual beli. Dan sejarah akan menghakimi mereka yang sanggup mengorbankan kawan demi kuasa,” katanya. – UTUSAN
The post Jasa Anwar selamatkan UMNO tidak dihargai appeared first on Utusan Malaysia.
