Jasmine Food, Cinta Gaza Malaysia salur hampir RM700,000 bantu rakyat Gaza

23 Oct 2026 • 9:39 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jasmine Food, Cinta Gaza Malaysia salur hampir RM700,000 bantu rakyat Gaza

PETALING JAYA – Sebanyak RM695,282.50 berjaya dikumpulkan menerusi kempen #SinarUntukGaza bagi membantu rakyat Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan berterusan di Gaza.

Kempen hasil kerjasama Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (Jasmine Food) dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu dilaksanakan dalam dua fasa sepanjang tahun ini dengan sumbangan disalurkan bagi menyediakan bantuan makanan serta bekalan air bersih.

Pada fasa pertama dari Januari hingga Mac lalu, sebanyak RM271,631.50 berjaya dikumpulkan dan digunakan bagi program pengagihan pek makanan serta hidangan panas di Gaza sekali gus memanfaatkan seramai 10,373 penerima.

Bagi fasa kedua yang berlangsung dari April hingga September pula, Jasmine Food berjaya mengumpulkan tambahan RM423,651.

Dana itu akan digunakan CGM bagi melaksanakan projek kemanusiaan dengan memberi tumpuan kepada pengagihan pek makanan dan bekalan air bersih kepada penduduk Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Jasmine Food Corporation, Alan Kwong berkata, kejayaan kempen itu membuktikan tindakan kecil yang dilakukan secara bersama mampu menghasilkan impak lebih besar.

“Walaupun kempen tahun ini telah berakhir, semangat belas kasihan dan kebaikan yang dicetuskan tidak seharusnya berakhir di sini.

“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan setiap cabaran yang dihadapi rakyat Gaza, tetapi apabila kita bersatu, kita mampu mencipta perubahan yang bermakna,” katanya.

Sepanjang kempen berlangsung, sebahagian daripada setiap pembelian Beras Era Cap Sinar Timur disalurkan bagi menyokong usaha bantuan kepada rakyat Gaza menerusi CGM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kerjasama strategik bersama sektor korporat penting bagi memastikan bantuan kepada rakyat Palestin dapat diteruskan secara konsisten.

“Sumbangan RM695,282.50 ini bukan sekadar satu angka. Di sebalik setiap ringgit adalah makanan yang sampai kepada keluarga, air bersih yang boleh diperoleh dan sedikit ruang untuk rakyat Gaza meneruskan kehidupan dalam keadaan yang amat mencabar.

“Usaha Jasmine turut menunjukkan bagaimana sektor korporat dan masyarakat boleh memainkan peranan penting dalam ekosistem kemanusiaan,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan fasa pertama yang memberi manfaat kepada 10,373 penerima turut membuktikan kerjasama antara syarikat, pengguna dan organisasi kemanusiaan mampu menghasilkan impak secara langsung.

CGM pada masa sama mengalu-alukan lebih banyak syarikat mengintegrasikan inisiatif kemanusiaan dalam program sosial dan tanggungjawab korporat masing-masing bagi memastikan sokongan terhadap rakyat Palestin dapat diteruskan dalam jangka panjang. – KOSMO! ONLINE

The post Jasmine Food, Cinta Gaza Malaysia salur hampir RM700,000 bantu rakyat Gaza appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved