Jati Tinggi raih kontrak RM19.41 juta daripada TNB untuk pemasangan kabel di Sungai Manjung, Perak

LocalBusiness & Finance
23 Jul 2025 • 9:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jati Tinggi raih kontrak RM19.41 juta daripada TNB untuk pemasangan kabel di Sungai Manjung, Perak

image is not available

23/07/2025 - 09:21

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai - Jati Tinggi Group Bhd terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor infrastruktur tenaga selepas meraih kontrak bernilai RM19.41 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi kerja-kerja pemasangan kabel di dasar Sungai Manjung, Perak.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Jati Tinggi berkata, skop kerja merangkumi pengalihan kabel dasar sungai sedia ada, serta pembekalan paip, kabel voltan 33-kilovolt yang baharu dan aksesori berkaitan.

"Kontrak tersebut dianugerahkan kepada usaha sama tidak diperbadankan yang melibatkan anak syarikat milik penuh Jati Tinggi, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd (70%) dan Worktime Engineering Sdn Bhd (30%).

"Kontrak dijangka siap dalam tempoh 365 hari," menurut syarikat itu.

Kontrak ini merupakan yang kedua diterima oleh usaha sama tersebut selepas kejayaan memperoleh kontrak bernilai RM54.24 juta bagi kerja-kerja pemasangan kabel pada Jun lalu.

Dengan penganugerahan terbaharu ini, jumlah keseluruhan projek baharu yang dimenangi oleh kumpulan sejak Disember 2024 kini mencecah RM192.68 juta.

Pencapaian ini turut mencerminkan momentum pertumbuhan mampan syarikat yang berjaya melonjakkan prestasi kewangan tahunannya.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2024, Jati Tinggi merekodkan keuntungan bersih RM9.7 juta berbanding RM3.9 juta pada tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat kepada RM128 juta berbanding RM115 juta.

Kontrak-kontrak berimpak tinggi yang diterima secara berterusan mengukuhkan lagi kedudukan Jati Tinggi sebagai pemain penting dalam segmen kejuruteraan utiliti, khususnya yang melibatkan kerja-kerja kabel dan infrastruktur tenaga strategik di Malaysia.- DagangNews.com

standard