Jatuh bangun 12 tahun, Azmalina tidak menyerah

Business & Finance
2 Nov 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jatuh bangun 12 tahun, Azmalina tidak menyerah

BERMULA dengan modal kecil dan pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan, siapa sangka Azmalina Sahar, 39, kini mampu menghasilkan aiskrim sendiri berasaskan gula apong menerusi jenama ABH scooplab.

Azmalina yang berasal dari Lundu, Sarawak, mempunyai pengalaman kira-kira 12 tahun dalam bidang perniagaan, termasuk pernah mengusahakan produk makanan dan menjadi pengedar produk sebelum beralih kepada penghasilan aiskrim.

Menurutnya, perjalanan sebagai usahawan bukan mudah apabila perniagaan pengedaran yang diusahakannya terjejas ketika pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan dia menanggung hutang.

“Perniagaan ketika itu jatuh dan saya terpaksa menjual kereta sendiri serta motosikal suami untuk meneruskan kehidupan. Sampai sekarang saya masih berusaha menyelesaikan hutang yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya untuk kembali membina perniagaan, sebaliknya mendorong Azmalina mencari peluang baharu dengan memulakan jualan minuman gula apong sebelum mengembangkan perniagaan kepada aiskrim.

Menurutnya, dia mula menjual aiskrim jenama lain sebelum mengambil keputusan menghasilkan produk sendiri selepas melihat potensi pasaran, selain mahu menawarkan kelainan kepada pelanggan.

“Pada mulanya saya hanya menjual aiskrim jenama lain. Kemudian, saya terfikir kenapa tidak saya hasilkan sendiri. Saya mula melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di rumah menggunakan wang sendiri,” katanya.

Azmalina berkata, proses menghasilkan aiskrim sendiri memerlukan banyak percubaan sebelum memperoleh resipi yang menepati cita rasa, malah dia melakukan lebih 20 percubaan dalam usaha membangunkan produknya.

Lebih menarik, dia masih menggunakan pengadun tangan atau hand mixer untuk menghasilkan aiskrim berkenaan tanpa bergantung pada mesin pengeluaran berskala besar.

Menurutnya, dia pernah menghasilkan sehingga 156 perisa menerusi proses R&D sendiri, namun kini memberi tumpuan kepada aiskrim berasaskan gula apong bagi membina identiti jenama yang lebih jelas.

“Antara perisa yang ditawarkan termasuk aiskrim gula apong, gula apong bersama garam laut, kelapa gula apong dan tiramisu gula apong yang menjadi antara pilihan pelanggan.

“Bagi saya, gula apong mempunyai potensi yang besar. Saya mahu orang di Semenanjung Malaysia, termasuk pelancong yang belum pernah ke Sarawak, dapat merasai gula apong melalui produk aiskrim ini.

“Ramai yang menyangka gula apong sama seperti gula Melaka, sedangkan kedua-duanya berasal daripada pokok yang berbeza,” katanya.

Mengulas mengenai kos perniagaan, Azmalina berkata, aiskrim gula apong asas yang dijual dalam bekas berharga RM6 sebekas, dengan kos bahan mentah dan pembungkusan dianggarkan RM1.45 sebekas.

Menurutnya, satu adunan mampu menghasilkan kira-kira 50 hingga 52 bekas aiskrim, manakala keuntungan bersih dianggarkan sekitar RM2 sebekas selepas mengambil kira kos operasi.

Bagaimanapun, dia berkata, perniagaan aiskrim turut berdepan cabaran apabila jualan di lokasi perniagaannya di Central Market merosot kira-kira 50 peratus berikutan persaingan yang semakin sengit.

Keadaan itu mendorongnya menilai semula strategi perniagaan dengan memberi tumpuan kepada perisa yang mendapat sambutan serta memperluas jualan melalui kedai-kedai kecil.

Dalam masa sama, Azmalina berkata, dia sedang berusaha mendapatkan pensijilan halal bagi premisnya kerana melihat aspek itu penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna dan membuka peluang pasaran yang lebih luas.

Katanya, meskipun pernah melalui fasa sukar sehingga terpaksa membina semula perniagaan, dia tidak mahu pengalaman lalu menjadi alasan untuk berhenti berusaha.

“Memang ada masa saya rasa mahu berhenti, tetapi saya tidak boleh terus mengalah. Saya perlu berehat seketika jika penat, kemudian bangkit semula dan teruskan apa yang sudah dimulakan,” katanya. – UTUSAN

The post Jatuh bangun 12 tahun, Azmalina tidak menyerah appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved