Jawatan Presiden PAS Kekal, Jawatan Lain Terbuka Dipertandingkan – Tuan Ibrahim

LocalPolitics
2 Jul 2025 • 5:45 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Semua jawatan kepimpinan dalam PAS Pusat akan terbuka untuk dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung September ini, kecuali jawatan Presiden PAS yang disarankan untuk dikekalkan kepada penyandangnya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS kekal

Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pandangan peribadi beliau selari dengan majoriti kawasan PAS yang berpendapat jawatan Presiden tidak wajar dipertandingkan.

image is not available

Foto: Harian Metro

“Pandangan saya, jawatan Presiden perlu dikekalkan. Malah, PAS kawasan yang kini sedang mengadakan mesyuarat agung juga menyatakan persetujuan agar Tan Sri Abdul Hadi terus memegang jawatan itu,” katanya.

Menurut beliau, selain jawatan Presiden, semua jawatan lain terbuka untuk dicalonkan oleh ahli-ahli PAS di peringkat kawasan.

“Mana-mana ahli yang layak boleh dicalonkan, tetapi perlu mematuhi syarat kelayakan tertentu, antaranya ialah jumlah pencalonan yang diterima.

“Jawatankuasa pemilih akan menilai dan memaklumkan kepada calon sama ada mereka layak bertanding,”ujarnya.

Tambah Tuan Ibrahim, calon yang dicalonkan juga akan diberi pilihan sama ada menerima atau menarik diri daripada bertanding selepas proses pencalonan selesai.

image is not available

Foto:Berita Harian

Ketika ditanya mengenai hasrat mempertahankan jawatan Timbalan Presiden, beliau berkata perkara itu bergantung kepada pencalonan yang diterima.

“Saya akan lihat dahulu jumlah pencalonan yang datang dari kawasan, jika diberi amanah, insya-Allah saya sedia bertanding.

“Kalau pun ada pertandingan, ia bukan satu masalah kerana ahli bebas memilih calon terbaik,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro (Nor Fazlina Abdul Rahim)