JAWI diarah siasat ayat al- Quran digunakan untuk promosi budaya songsang

LocalPolitics
12 Mar 2026 • 5:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berikutan video tular yang memaparkan sepanduk dengan ayat suci al-Quran digunakan secara salah untuk mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Dr Zulkifli Hasan menegaskan perbuatan itu bukan sahaja menggores maruah umat Islam apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini, malah mencemar kemuliaan Al-Quran kerana ditafsir jauh dari konteks serta makna sebenar ayat tersebut.

"Saya menyeru semua pihak agar menghayati al-Quran dengan tradisi keilmuan yang panjang dan tidak sewenang-wenangnya menterjemah mengikut nafsu sehingga menyesatkan dari maksud sebenar apatah lagi untuk menjadikan dalil budaya yang bertentangan dengan nilai Islam," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular satu sepanduk di media sosial yang memaparkan terjemahan ayat al-Quran yang diselewengkan untuk menyokong agenda budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.